Wednesday, 28 September 2011

Sejarah Perlu Selari Perkembangan Demokrasi

Kesuburan sejarah harus selari dengan perkembangan demokrasi untuk memastikan rujukannya sentiasa relevan menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.

Sehubungan dengan itu katanya, negara juga harus membuka ruang untuk memberi pengiktirafan kepada golongan yang turut serta memperjuangkan kemerdekaan tanahair.

Bercakap pada sebuah wawancana khas Sinar Harian bertajuk "Wajarkah Sejarah Ditulis Semula" petang tadi, Mohamad menyifatkan pemahaman sejarah dalam konteks tafsiran harus digilap untuk memaparkan perjuangan yang lebih jelas.

"Oleh kerana sifat sejarah itu terbentuk dalam acuan yang sentiasa melalui penafsiran baru termasuk tuntutan globalisasi... maka kita perlu mengukuhkan sejarah nasional itu dengan pengilapan.

"Cuma persoalannya apakah ia akan melibatkan rombakan atau renovasi? Bagi saya lebih cenderung mengatakan perlunya renovasi.

"Kalau dahulu pihak golongan kiri atau agama tidak diketengahkan dalam pembinaan sejarah, maka kita beri ruang kepada sumbangan mereka kerana perjuangan," kata Mohamad dalam wawacana khas di Shah Alam.

Isu sejarah hangat diperkatakan muktahir ini apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengangkat Ketua Regimen Parti Komunis Malaya (PKM) Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Dalam ceramahnya di Pulau Pinang bulan lalu, Mat Sabu turut mendakwa tentara dan polis yang bersama-sama British ketika itu sebagai penjajah.

Semenjak itu beliau mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak termasuk ugutan untuk mencederakan beliau dan keluarganya.,

Selain Mohamad sebagai ahli panel, wacana sebentar tadi turut menjemput Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlid Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Pakar Sejarah Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Datuk Dr Ramlah Adam.

Mohamad berkata disebabkan sejarah ditentukan berdasarkan faktor dan tafsiran, maka ianya perlu diperkukuhkan dengan pemantapan nilai peradaban itu sendiri.

Katanya, sejarah boleh disalurkan melalui dua peringkat berlainan iaitu buku teks kurikulum dan kajian berterusan ilmuan termasuk tafsiran umum.

Namun beliau mempersoalkan sekiranya negara bersedia untuk menghadapi rombakan untuk penambahbaikan.

"Selama ini sejarah banyak ditentukan oleh pihak luar iaitu pengamatan dari Inggeris. Kita mahu sejarah dari dalam menentukan luarannya. Itu yang kita mahu.

"Ertinya sejarah yang berpaksi menentu corak dan tempo perjalanan sejarah semasa sehingga masa depan tidak lebih daripada perlanjutan masa kini," kata beliau.

END

No comments:

Post a Comment

Translate's version