Tuesday 29 May 2012

DEMOKRASI:mesir lebih baik dari malaysia

 29 Mei: Sistem demokrasi di Mesir kini jauh lebih baik berbanding Malaysia, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak, tiada lagi cengkaman terhadap ‘tiang demokrasi’ seperti badan pilihan raya, polis, media dan seluruh jentera kerajaan.
“Kalau ada cubaan untuk mengongkong institusi ini, rakyat Mesir akan menghalangnya.
“Berbeza di Malaysia, nama sahaja tiang demokrasi, tetapi secara praktisnya dikongkong parti pemerintah.
“Kehakiman, SPR, polis dan seluruh jentera kerajaan diperkuda demi memenuhi impian politik cetek Umno BN,” katanya dihubungi Keadilan Daily.
Beliau mengulas perjalanan pilihan raya presiden Mesir yang sedang berlangsung ketika kini.
Rakyat Mesir pertama kali dalam sejarah berpeluang menyertai pilihan raya bebas selepas sekian lama dikuasai diktator Hosni Mubarak yang disokong tentera.
Ketika pendaftaran dibuka, 23 calon mengesahkan penyertaan mereka untuk merebut kerusi presiden.
Pendaftaran bekas Ketua Perisikan Omar Suleiman yang merupakan penyokong setia rejim Mubarak paling mencuri perhatian walaupun beliau sebelum ini menyatakan tidak akan bertanding.
Dua calon paling popular adalah dari Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi dan bekas pemimpin Ikwan yang dipecat, Abdel Moneim Aboul Fotouh.
Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Machang berkata, pilihan raya presiden di Mesir memberikan makna yang sangat signifikan dari sudut amalan demokrasi.
Katanya, kredibiliti institusi pilihan raya mereka menjadi perhatian di peringkat antarabangsa.
“Badan pilihan raya ketika rejim Mubarak sangat berpihak dan menyaksikan parti pemerintah tidak pernah kalah dalam pilihan raya.
“Masa zaman Mubarak boleh dikatakan hampir tiada calon presiden apatah lagi banyak parti politik diharamkan.
“Tetapi kini kita boleh saksikan ramai yang bertanding termasuk Omar Suleiman yang merupakan penyokong setia Mubarak,” katanya.
Kerajaan Malaysia perlu ambil iktibar
Saifuddin berkata, Umno BN perlu mengambil iktibar terhadap situasi politk yang berlaku di Mesir ketika ini.
Menurut beliau, kesedaran rakyat terhadap hak berpolitik tidak lagi boleh diperlekehkan.
“Sekiranya Umno masih memandang rendah hak rakyat, mereka silap besar.
“Situasi yang berlaku di negara-negara Arab yang dikuasi oleh diktator berpuluh-puluh tahun juga boleh tumbang di tangan rakyat. Umno perlu ambil iktibar perkara ini,” katanya.
Mengulas perkembangan politik Malaysia, beliau yakin angin perubahan yang berlaku di negara-negara Arab akan menular di negara ini.
“Angin perubahan semakin kuat dirasai. Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen bukti jelas Umno BN takut kehilangan kuasa,” katanya.

Pembongkaran scorpene oleh SUARAM dibangkok

 29 Mei: Badan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bakal mendedahkan maklumat lanjut mengenai kes samannya berhubung skandal kapal selam Scorpene di Bangkok, Thailand esok.
Menurut Suaram, tindakan itu disebabkan peguamnya dari Perancis, Joseph Brehem sehingga hari ini masih gagal mendapatkan kebenaran memasuki Malaysia.
“Tidak pasti bila peguam Suaram dari Perancis, Joseph Breham akan diberi visa kerja untuk memasuki Malaysia, dan oleh itu, pemimpin NGO berkenaan memutuskan untuk menemuinya di Thailand,” kata Suaram dipetik Malaysiakini.
Brehem dan pasukan Suaram yang diketuai pengarahnya, Cynthia Gabriel dan peguam Fadiah Nadwa Fikri akan mengadakan sidang akhbar kemudian mengenai perkembangan baru dalam kes Scorpene yang difailkan oleh badan itu di Paris.
Cynthia dipetik berkata, ia akan diadakan di Kelab Wartawan Asing di Thailand untuk mendedahkan lagi butiran hasil siasatan awal pihak pendakwa serta perkembangan terbaru kes tersebut.
Breham sepatutnya melawat Malaysia minggu ini, tetapi permohonannya untuk mendapatkan visa kerja untuk memasuki negara, masih belum diluluskan pihak berkuasa Malaysia.
Berikutan itu, beliau akan menemui pihak Suaram di Bangkok.
Pada Julai 2011, seorang lagi peguam Perancis, William Bourdan diusir pulang ke Perancis, kononnya telah menyalahgunakan pas lawatan sosial selepas menghadiri majlis kutipan dana pembiayaan kes Scorpene di Pulau Pinang.
Beliau ditahan di dalam pesawat sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Pulau
Pinang.
Sekatan itu dipercayai bagi menutup kebongkaran berhubung pembabitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai urusniaga pembelian kapal selam itu.
Suaram adalah organisasi yang bertanggungjawab memfailkan kes terhadap DCNS, syarikat pembuat
kapal selam Perancis yang membina dan menjual kapal selam kepada negara dunia ketiga termasuk Malaysia.
Kes itu difailkan kerana DCNS membayar ‘komisen’ lebih daripada RM500 juta kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat yang
dimiliki Abdul Razak Baginda, rakan karib Najib.
Pada 20 April lalu, Pengarah Suaram, Kua Kia Soon; Anggota Sekretariat, Cynthia Gabriel dan Fadiah berhujah di hadapan hakim dalam sesi tiga jam di Perancis yang berakhir pada jam 6.00 petang (waktu Perancis).
Najib antara nama dalam senarai yang dicadangkan Suaram kepada hakim di tribunal Grande Instance Paris, berhubung
rasuah pembelian Scorpene.

Monday 28 May 2012

Barisan Nasional mula ketakutan kesan BERSIH 3.0

Tindakan perundangan yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin Bersih di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) telah menimbulkan keresahan dikalangan pemimpin mereka yang mana tindakan itu akan mengakibatkan pembangkang mendakwa akta itu lebih tegas berbanding akta sebelumnya.
Walaupun mereka berkata kepada The Malaysian Insider akta itu perlu dihormati, mereka masih lagi tidak pasti bagaimana pengundi akan menerima penggunaan akta itu, kunci perundangan dalam pentadbiran Najib dalam pembaharuan demokrasi, dengan pilihan raya yang semakin hampir.

Rabu lalu, 10 ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih termasuk Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, menjadi individu pertama disaman di bawah PAA, yang dikuatkuasakan sehari sebelum demonstrasi 28 April.

Kerajaan menuntut RM122,000 atas kerosakan 15 kenderaan di bawah Seksyen 6(2)(g) PAA yang mana menyatakan penganjur perlu “memastikan perhimpunan membahayakan kesihatan dan mencetuskan kerosakan harta dan alam sekitar.”

Datuk Seri Najib Razak berkata apabila memperkenalkan akta itu, ia adalah “revolusi” perundangan yang membenarkan kebebasan bersuara menurut norma-norma antarabangsa.

Namun pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berkata, saman tersebut pada Selasa diikuti dengan dakwaan terhadap penyertaan dalam perhimpunan haram terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, menunjukkan perdana menteri bukanlah reformis, sebaliknya bertindak.

“Ini adalah perkara penting bagaimana rakyat akan melihat kerajaan, dengan menghantar signal yang bercampur aduk,” kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah kepada The Malaysian Insider.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Ti Lian Ker turut bersetuju dengan Lim Kit Siang bahawa tindakan itu adalah “lebih kepada pelaksanaan dan dibuat kerana kehadirannya telah dicabar dan jika tiada tindakan, di mana pihak berkuasa?”

Namun beliau menegaskan kerajaan mempunyai pilihan yang terhad dalam perkara itu.

“Bersih menyatakan ‘punca’ dan mereka mempunyai moral tinggi. Tapi kerajaan perlu meletakkan kaki di bumi nyata dan kamu tidak boleh melangkaui undang-undang,” kata peguam ini, yang juga Pengerusi MCA Kuantan.

Naib Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut berkata walaupun sesetengah pihak mengatakan PAA “tidak adil, ia masih undang-undang dan telah dilanggar.”

“Kita semakin hampir dengan pilihan raya, tidak perlu lagi asyik turun ke jalanan, PR boleh letakkan dalam manifesto mereka dan lihat jika rakyat sokong demonstrasi bebas tanpa penguatkuasaan,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu.

Pembangkang telah keluar Dewan November lalu apabila akta tersebut dibahaskan di Parlimen selepas mengkritik akta tersebut, yang mana menghalang “usul perhimpunan” yang dilihat lebih teruk berbanding Myanmar, negara yang mempunyai hak asasi manusia yang paling rendah di dunia.

Perhimpunan 28 April lalu melihat ribuan perusuh berkumpul di enam kawasan berbeza sebelum menuju dan berkumpul di Dataran Merdeka dalam keadaan aman sehingga jam 2.30 petang apabila Ambiga mengarahkan peserta untuk bersurai.

Walaubagaimanapun, arahan tersebut tidak diendahkan perusuh dan kebanyakan daripada mereka berlegar di sekitar Dataran Merdeka yang mana mahkamah telahpun menguatkuasakan arahan melarang mereka berada di kawasan tersebut.

Sejurus jam 3 petang, perusuh kemudiannya merempuh masuk ke kawasan dataran selepas merobohkan halangan di kawasan dataran yang mana memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Kekacauan itu turut menyaksikan beberapa kereta polis mengalami kerosakan

Dimana suaramu ulama UMNO sekalian..?

 Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mempersoal tindakan kerajaan menganjurkan Himpunan Jutaan Belia 2012 minggu lalu yang dicemari program maksiat dan menyimpang jauh dari ajaran Islam.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, apa yang turut mengecewakan adalah kenapa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir yang menjaga Hal Ehwal Agama Islam tidak menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak supaya membatalkan segala aktiviti maksiat.
“DPPM menganggap Datuk Seri Jamil Khir turut bersekongkol dalam menganjurkan program maksiat ini.
“DPPM juga mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung sambutan Hari Belia yang diadakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Penganjuran sambutan Hari Belia itu yang bermula Rabu lalu dan berakhir semalam mencetus pelbagai reaksi negatif orang ramai.
Rata-rata mereka kecewa dengan program hiburan melampau yang dihidangkan kepada anak muda termasuk penampilan artis jemputan kumpulan wanita dari Korea, K-Pop yang mempersembahkan tarian berpakaian seksi dan menjolok mata.
“Dengan menampilkan artis seksi sebagai hidangan masyarakat, kerajaan menganggap itu sebagai suatu perkara yang biasa dan tidak ada salahnya.
“Mungkin inilah nilai wassatiyyah (kesederhanaan) yang hendak diterapkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Tambah Riduan, kerajaan seperti tidak kisah jika golongan belia hanyut dengan kelalaian dan rosak akhlak asalkan mencapai matlamat mereka untuk menarik kehadiran ramai belia.
“Apakah mesej yang hendak disampaikan dari penganjuran program maksiat seperti ini?
“Adakah konsert ini akan membina sebuah masyarakat yang sihat, berakhlak mulia dan berminda positif atau menjadikan generasi muda lebih liar dan jauh daripada agama Islam?
Tegas Riduan, apa yang berlaku dalam Sambutan Hari Belia itu hanya mengesahkan bahawa Umno bukanlah sebuah parti untuk umat Islam berpaut, tetapi Islam semakin tersisih dan terpinggir di bawah pemerintahan Umno.

Saturday 26 May 2012

POLitik samseng:jijiknya MELAYU,..jijik lagi melayu umno..!!

CHE DET buat lagi. kali ini mantan PM itu mendakwa kononnya Pakatan Rakyat yang bakal tewas dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan menganjurkan demonstrasi ganas tanpa henti untuk menolak keputusan itu.

Dakwa Tun Mahathir Mohamad, pembangkang (Pakatan Rakyat) seterusnya akan mengusahakan pilihan raya baru yang dimanipulasi mereka diadakan.

"Tunjuk-tunjuk perasaan Bersih yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya.

"Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan," dakwa beliau dalam blognya.

Begitulah Mahathir, seorang pengamal politik Machiavelli yang tidak sudah-sudah dengan taktik 'reverse psychology'nya ketika berhadapan lawan politik.

Tidak seperti di era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi yang sering dikecam beliau, Mahathir memilih untuk membantu menyerang Pakatan Rakyat dan menyembunyikan ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Najib. Alasannya mudah. Beliau tidak mahu BN yang semakin lemah hilang kuasa dan seterusnya membolehkan seteru politiknya, Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya.

Oleh itulah kita lihat kini Mahathir lebih banyak memberi komen berhubung politik negara berbanding isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor!

Walaupun di awal pentadbirannya, Che Det mengkritik dua mantan PM iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn kerana didakwa selalu bersuara mencampuri urusan pentadbiran negara, kritikan beliau nampaknya terkena batang hidung sendiri apabila gemar bercakap mengkritik penggantinya pula.

Kepakaran Dr Mahathir sebagai seorang 'spin doctor' boleh dilihat dalam isu samseng politik yang kian menjadi-jadi sekarang ini.

Walaupun para pemimpin Umno bersungguh-sungguh menafikan pembabitan parti itu dalam beberapa kejadian di seluruh negara, umum mengetahui siapakah dalang dan punca kejadian samseng-samseng itu mengganas.

Kejadian terbaru membabitkan ceramah anjuran KeADILan di Lembah Pantai. Ceramah yang disampaikan Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar 24 Mei lalu dicemari insiden keganasan apabila pemimpin dan hadirin dilempar batu dan telur oleh Pemuda Umno. Seorang warga emas terpaksa dikejarkan ke klinik kerana tercedera terkena batu di kepala.

Motif Umno mengadakan ceramah lebih kurang 100 meter daripada lokasi ceramah anjuran KeADILan itu juga bertujuan mewujudkan ketegangan. Apatah lagi ceramah itu disampaikan penglipurlara cerita lucah dan porno Umno, Umi Hafilda Ali. Malah Umi Hafilda dilapor memekikkan perkataan "Anwar al-Jub*ri. Dia pro-Israel. Dia bapa kaki perempuan" bagi menenggelamkan ceramah Anwar.

Hampir 100 Pemuda Umno Lembah Pantai juga dilapor menghalang jalan utama menghala ke ceramah KeADILan dan membawa sepanduk bertulis "Anwar punca keganasan di negara ini".

Ucapan Nurul Izzah turut tertangguh 15 minit apabila bekalan elektrik sengaja dipotong.

Walaupun Umno Lembah Pantai yang dipimpin Raja Nong Chik menafikan terlibat dalam insiden ganas dan sabotaj itu, bukti-bukti yang wujud tidak boleh menafikan penglibatan Umno.

Begitu juga dengan insiden yang menimpa Anwar di Johor dan Pahang apabila kereta milik Ketua Pembangkang itu menjadi mangsa tindakan samseng upahan Umno.

Di Melaka, program menampilkan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga baru-baru ini turut diganggu samseng. Malah Adun (Umno) Serkam dan Ahli Parlimen (Umno) Jasin turut dikesan berada di dalam kawanan gerombolan samseng tersebut.

Beberapa kejadian kacau ganggu di hadapan kediaman S Ambiga pasca himpunan bersih 3.0 punya kaitan dengan samseng Umno. Walaupun pihak-pihak terlibat melindungi kegiatan samseng mereka di sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO), carian di internet membuktikan penglibatan mereka dengan Umno.

Walau bagaimana kerasnya penafian pemimpin Umno terhadap pembabitan parti itu dengan gerombolan samseng, Umno tidak boleh bersembunyi di sebalik lalang nan sehelai. Di Melaka sebagai contoh, budaya samseng politik dipelopori Pengerusi Perhubungan Umno yang juga Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sendiri.

Menjadi hobi kepada Mohd Ali untuk mengadakan 'ceramah kilat' berhadapan lokasi pentas ceramah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat. Mohd Ali akan menjerit-jerit menggunakan pembesar suara bagi mengganggu ceramah Pakatan Rakyat walaupun yang berada di hadapannya hanyalah sekitar 20 atau 30 orang penyokong Umno/BN.

Di Terengganu, sikap yang sama ditunjukkan pemimpin Umno apabila menganjurkan siri kempen "PAS Parti Ajaran Sesat". Apa yang melucukan, tatkala ghairah menuduh PAS sebagai 'sesat', Umno masih teringin untuk bermuzakarah bagi mencapai 'perpaduan ummah'. Begitulah hebatnya Umno bersandiwara untuk mengekalkan kuasa.

Walaupun tindakan provokatif dan samseng Umno ini dilakukan secara berleluasa, namun ia tidak langsung dilihat sebagai satu ancaman oleh pihak yang bertanggung jawab terhadap keselamatan negara. Hatta mantan Ketua Polis Negara sendiri menuduh Mursyidul Am PAS sebagai 'bapa kafir' hanya semata-mata kerana menyokong perhimpunan duduk, bantah Bersih 3.0.

Mungkin juga pihak polis berasa 'malu alah' memandangkan penaja dan pelopor kegiatan samseng ini ialah para pemimpin Umno yang sebahagiannya ialah memimpin kerajaan. Kumpulan-kumpulan samseng ini juga berselindung di sebalik nama NGO. Mereka juga mendapat pelbagai gelaran yang dianugerahkan pemimpin Umno. Antaranya "benteng ketiga pertahanan negara".

Tidak hairanlah jika ada penganalisis politik meramalkan PRU13 akan datang bakal menjadi PRU paling buruk dalam sejarah negara. Kegiatan samseng politik akan sampai ke kemuncaknya pada waktu itu. Dan tidak seperti tanggapan Dr Mahathir, kegiatan samseng dan ganas itu bukan dipelopori Pakatan Rakyat tetapi didalangi BN yang sudah tentunya diterajui Umno!

Friday 25 May 2012

MOGOK LAPAR mohon tapak sekolah,MIC harus pulangkan..!!

 Sekumpulan masyarakat India akan mengadakan mogok lapar bermula esok bagi mendesak MIC mengembalikan semula tiga ekar tanah milik Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Effingham di Petaling Jaya yang dirampas sekutu Umno itu sejak 1999.
Kumpulan yang menamakan diri mereka Return Effingham Land Action Team (Reflax) menegaskan, mogok lapar itu hanya dihentikan jika MIC mengembalikan semula tanah itu kepada SRJKT.
“Kami akan memulakan mogok lapar seawal 8.00 pagi Sabtu ini dan ia akan berterusan sehinggalah tanah yang diperuntukkan kepada SRJKT Effingham dikembalikan.
“Mogok diadakan di Water Fountain, Brickfields dan sehingga kini 10 aktivis sudahpun mengesahkan penyertaan” kata Pengerusi Reflax, Manivanan Gowin dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.
Turut serta, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Fuziah Salleh; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa, Senator S Ramakrishnan, pimpinan parti dan lebih 30 aktivis masyarakat India.
Manivanan berkata, mogok lapar terpaksa dibuat ekoran pelbagai usaha NGO itu sebelum ini termasuk menemui Presiden MIC, Datuk G Palanivel pada 22 Mei lalu ditolak.
“Malah Setiausaha Politik Datuk G Palanivel iaitu Dr Vijay yang diarah menemui kami mengugut wakil Reflax, N Palanivelan dengan mengatakan akan membawa keranda jika sesiapa meninggal dunia hasil daripada mogok lapar ini.
“Beliau juga cuba menakutkan kami mengenai insiden kecederaan depan Pejabat Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini dan mengingatkan kami agar jaga-jaga kerana kami ada anak dan isteri,” katanya.
Sebelum ini, sekumpulan penyokong MIC menyerang dan mencederakan seorang penyokong KEADILAN sehingga berlumuran darah pada himpunan di Putrajaya bertujuan mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan permasalahan kad pengenalan masyarakat India di negara ini.
Manivanan turut kesal dengan keengganan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi permit kepada himpunan itu sebagaimana dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Korporat agensi itu, Dr Ismain Stapa 21 Mei lalu.
“Penolakan permit ini jelas penghinaan kepada pelajar sekolah kerana mogok lapar ini dibuat bagi memperjuangkan pendidikan masyarakat India di negara ini.
“Walaupun tanpa permit, himpunan ini tetap diteruskan dan perkara ini juga sudah dimaklum kepada Balai Polis Travers agar menjaga keselamatan rakyat yang menyertai dan menyokong mogok lapar ini,” tegasnya.
Ekoran itu, wakil Reflax, N Palanivelan membuat laporan di balai polis Travers, Brickfields semalam selain mendesak Vijay memohon maaf secara terbuka dalam masa 24 jam.
Sesiapa yang ingin menyertai mogok lapar esok, boleh menghubungi N Palanivelan di talian 016 339 8165.

BERSIH 3.0(ORI) vs BERSIH 4 (KLON)..pemutar belit minda rakyat

ISU-ISU 'spin off' pasca Bersih 3.0 nampaknya masih mendominasi ruang politik negara walaupun himpunan duduk, bantah 28 April itu sudah hampir sebulan berlalu.

Ada di kalangan penganalisis politik meramalkan kesan himpunan Bersih 3.0 akan berkekalan sehingga empat bulan yang pastinya menambah kesukaran kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan tarikh pilihan raya umum.

Kegusaran BN terhadap impak himpunan Bersih 3.0 tidak sukar untuk dilihat. Kehadiran ratusan ribu rakyat di ibu kota Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru, juga di Kota Kinabalu dan Miri menunjukkan kesepaduan tekad rakyat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Malah himpunan duduk, bantah Bersih 3.0 dengan lapan tuntutan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor disambut serentak rakyat Malaysia di lebih 74 bandar seantero dunia.

Kunjungan Perdana Menteri di London baru-baru ini juga disambut warna kuning (warna rasmi Bersih) dan mukadimah ucapannya di hadapan rakyat Malaysia turut diiringi laungan "bersih, bersih, bersih..."

Terdesak dengan asakan demi asakan rakyat terhadap cara kerajaan BN menangani perhimpunan aman itu, Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya 2012 akhir tidak dibincangkan Dewan Negara. 'Panel siasat bebas' juga ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan keganasan polis walaupun ia diketuai oleh pengerusi yang anti-Bersih.

Di masa yang sama, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk meletakkan kesalahan kepada penganjur Bersih 3.0. Terbaru adalah tindakan memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM122,000 terhadap Pengerusi Bersama Bersih, Dato' Ambiga Sreevanasan serta sembilan lagi ahli jawatankuasa pemandu Bersih 3.0. 

Dakwaannya adalah gagal mengawal perhimpunan 28 April lalu sehingga pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian.

Beberapa hari sebelumnya, tiga pemimpin KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Chegu Bard dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengingkari Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam samannya terhadap sepuluh ahli jawatankuasa pemandu Bersih 3.0, kerajaan BN mendakwa mengalami kerosakan dan terpaksa menanggung kerugian yang telah ditaksirkan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kos untuk memperbaiki semua kenderaan terbabit adalah antara RM2,000 hingga RM16,000 yang kesemuanya berjumlah RM122,000.

Kerajaan sebagai plaintif juga menuntut satu deklarasi bahawa defenden-defenden sebagai penganjur telah mengingkari seksyen 6(2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menuntut gantirugi berjumlah RM122,000.

Sebelum daripada ini Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menanggung kos RM300,000 ekoran perhimpunan Bersih 3.0. 

Kerugian, katanya termasuk kerosakan pada lanskap dan kos membersihkan kira-kira 8 tan sampah sarap di sekitar kawasan perhimpunan di ibu negara. 

Apa yang gagal dinyatakan kerajaan BN dan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah, kesemua kerugian yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk pihak polis yang mengkucar-kacirkan perhimpunan aman itu apabila secara semberono melepaskan gas pemedih mata dan meriam air kepada ribuan peserta perhimpunan di Jalan Raja, Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.

Dalam keadaan kelam kabut itu jugalah berlaku insiden-insiden tidak diingini termasuk pembantaian orang awam oleh pasukan polis beruniform dan tidak beruniform.

Paling mendukacitakan adalah tindakan tidak bertamadun golongan anti-Bersih yang melakukan perbuatan 'kacau ganggu' di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara.

Ada yang menonggeng punggung dan ada yang mahu mengadakan pasar terbuka selama dua hari.

Ketua senaman punggung akhirnya menerima malu apabila kisah silamnya merasuah RM1 juta untuk mendapatkan gelaran datuk palsu daripada seorang kerabat diraja didedahkan warga siber.

Ketua persatuan penjaja kecil yang hidup mewah pula menerima ancaman boikot daripada penyokong Bersih apabila rantaian restoran Ikan Bakar Sekinchan miliknya didapati mengenakan harga mahal tidak masuk akal berbanding mutu perkhidmatan yang buruk. 

Apa yang menarik, tauke restoran ikan bakar dan kereta import mewah itu menawarkan hadiah jutaan ringgit kepada orang ramai yang mengunjungi halaman Facebook Bersih 4.0 tajaannya.

Menurutnya, pelawat Facebook berpeluang memenangi kereta BMW 530 dalam cabutan bertuah apabila jumlah peminat mencecah 150,000 orang.
Kereta model 2005 itu bernilai RM225,000. 

Sekiranya jumlah peminat Facebook itu mencecah satu juta orang, sebuah lagi kereta mewah, model Lamborghini Gallardo model 2009 bernilai RM1.2 juta akan ditawarkan dalam cabutan bertuah.

Begitulah mewahnya 'persatuan peniaga kecil' yang mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit ekoran perhimpunan Bersih 3.0.

Bukanlah lebih berfaedah jika wang sebanyak itu dihadiahkan kepada kerajaan BN dan DBKL untuk menampung kerugian akibat Bersih 3.0.

Nampaknya Bersih 3.0 benar-benar membuatkan kita bingung. Bingung kerana urusan perniagaan dan pentadbiran pun mahu dipolitikkan. Mungkin kebingungan ini juga dialami Majlis Fatwa Kebangsaan. Benarkah?

Undian 49% tidak percaya P'raya telus,apa hujah SPR..?!!

Tinjauan yang dibuat dalam minggu-minggu sebelum perhimpunan BERSIH pada penghujung April mendapati hampir separuh daripada responden tiada kepercayaan dalam proses pilihan raya semasa.

Menurut tinjauan Merdeka Centre pada 14 hingga 26 April, sebanyak 49 peratus tidak percaya proses itu bebas daripada ketidakaturan.

Daripada 1,019 orang responden, hanya 20 peratus "sangat yakin" bahawa proses pilihan raya Malaysia boleh dipercayai.

Dari segi pecahan kaum pula, sebanyak 68 peratus responden berbangsa Cina tidak percaya pada proses itu berbanding 19 peratus orang Melayu berpendirian sama.

Masyarakat Melayu kelihatan lebih optimis dengan 57 peratus masih percaya berbanding 39 peratus lagi sebaliknya. Golongan India pula mencatatkan separuh tidak yakin.

PEMUDA UMNO terlibat..!!

 KEADILAN telah mengenal pasti samseng Umno yang melempar batu, telur dan botol hingga menyebabkan beberapa penyokong Pakatan Rakyat cedera di ceramah malam tadi.
Menurut Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya KEADILAN Lembah Pantai, Md Zaman Md Tasi, tindakan biadap itu dilakukan oleh Pemuda Umno kawasan berhampiran.
“Saya mengenal pasti mereka adalah Pemuda Umno. Saya merupakan penduduk Lembah Pantai dan mustahil saya tidak mengenali mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan setiausaha politik pejabat beliau, Fahmi Fadzil.
Zaman berkata, sebelum kejadian itu, beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang Pemuda Umno yang merupakan rakannya, memberitahu, salah seorang daripada mereka akan mensabotaj program malam  itu.
“Saya menyedari SMS itu selepas samseng tersebut memotong kabel bekalan elektrik, bagaimanapun saya tidak mampu berbuat apa-apa” katanya.
Malam tadi, ceramah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pangsapuri Pantai Permai dicemari aksi samseng Umno yag melempar batu, telur dan botol.
Kejadian itu menyebabkan seorang warga emas parah di kepala dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai patah tangan kiri.

ANAK MUDA harus malu digunakan..!!

 25 Mei: Tindakan terdesak Umno Barisan Nasional (BN) yang sangggup mengupah anak-anak muda sebagai samseng membuktikan budaya memalukan itu akan berterusan selagi Umno memerintah.
“Dengan upah RM20 kepada samseng-samseng didikan Umno itu membuktikan mereka sanggup mempergunakan anak-anak muda demi politik kotor mereka,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di hadapan lebih 1,000 penyokong di perkarangan Flat Pantai Permai, Lembah Pantai malam tadi.
Provokasi yang sengaja dicetuskan Umno malam tadi bukan sahaja mengganggu penyokong tetapi turut mensasarkan Anwar kerana baru 30 minit beliau berucap, insiden baling objek mula berlaku.
Akibatnya, seorang warga emas dilempar batu menyebabkan kepalanya berdarah diusung penyokong lain dari tapak ceramah dan dibawa ke hospital dalam keadaan separa sedar.
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis turut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan sewaktu Anwar berucap.
Malah, ceramah Umno yang sengaja diadakan lebih kurang 20 meter daripada tapak ceramah KEADILAN itu juga antara usaha Umno mengganggu ucapan pemimpin Pakatan Rakyat.
“Apa yang dia boleh buat, dia ada wang. Dia boleh bayar RM20 untuk pemuda jadi seperti itu. (sambil menunjuk ke arah samseng Umno).
“Dia ugut, kalau dia ingat dia nak baling batu, baling telur, dia ingat nak bagi kita lari semua?” soal Anwar disambut jawapan tidak oleh penyokong.
Tambah Anwar, sepatutnya anak muda harus sedar mereka semua hanya diperalatkan Umno.
“Ingat, dia ambik RM200 juta, dia bayar anak muda RM20 sahaja, ini keadaan sekarang.
“Kalau nak jadi pemimpin negara, jadikan anak Cina, India juga seperti anak kamu. Ini anak Najib, anak dia, anak lain anak 1Malaysia. Maka jeritlah kamu dah dapat RM20,” kata beliau disambut sorokan gemuruh penyokong.
Sepanjang ceramah itu juga, Anwar sempat menenangkan penyokong daripada terjebak provokasi oleh samseng Umno.
“Saudara jangan lupa bahawa malam ini adalah saksi, ini cara Umno dan Pemudanya, tiada akhlak, sabar-sabar…,” katanya yang tidak takut dengan ancaman samseng upahan itu yang disifatkan seperti cicak mengkarung.
Seawal 8.00 malam lagi, pelbagai usaha provokasi dirancang Umno dengan mengupah samseng-samsengnya menyekat jalan dan mengibarkan kain rentang mengutuk Pakatan Rakyat dan Anwar.
Sekumpulan samseng kira-kira 30 orang itu memakai baju merah dengan mengibarkan bendera selain sengaja menjerit dan memaki hamun orang ramai yang mahu ke ceramah anjuran Parlimen Lembah Pantai itu.
Lebih daripada itu, kumpulan penceramah anjuran Umno tanpa segan silu memaki, mencarut dan memfitnah Anwar.
Antara panel jemputannya, Ummi Hafilda Ali yang sinonim dengan sikap jeliknya apabila menyampaikan ceramah dengan mengaitkan isu liwat, seks dan sebagainya.

BAling batu,siapa harus dipersalahkan..!!

Tindakan samseng termasuk penyokong Umno mengganggu program Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini memperlihatkan betapa tukutnya mereka berdepan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata, Umno kini sedar bahawa rakyat kini semakin ramai menyokong Pakatan dan menolak Umno.

(Gambar: Seorang hadirin terkena lontaran batu pada majls malam tadi. Foto Khaulah)


Ekoran itu katanya, tidak mustahil mereka sanggup menggupah samseng untuk mengganggu Pakatan Rakyat dari menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

"Bila kata demokrasi, hormatilah hak kumpulan lain nak bagi penerangan kepada rakyat.

"Tindakan ini tak hormat rakyat, tak nak rakyat pilih dengan bebas, tapi paksa rakyat pilih dia sahaja," katanya ketika dihubungi Harakahdaily

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas serangan balingan batu dan telur terhadap ceramah Pakatan Rakyat di Pantai Dalam malam tadi.
Khalid turut hadir malam tadi dan membaca doa mengakhiri majlis.

Insiden berlaku kira-kira jam 11 malam tadi, ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap di satu majlis ceramah di Apartmen Pantai Permai.

Menurut saksi, batu itu dibaling dari kawasan ceramah Umno di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam yang terletak bersebelahan.

Ekoran insiden itu, seorang warga emas cedera di kepalanya manakala seorang kanak-kanak juga didakwa cedera di tangan dan dikhuatiri patah.

"Mereka sedar rakyat dah tolak, jadi mereka ugut dengan samseng.

"Tindakan ini hanya mengesahkan lagi tanggapan bahawa Umno ini merosakkan negara dan perlu ditukar," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Thursday 24 May 2012

Sabotaj gambar pimpinan kerajaan negeri,semakin melampau diselangor

 Gambar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sekitar Banting dan Morib sekali lagi diconteng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ini merupakan kejadian kali ketiga yang berlaku di kawasan itu dalam masa dua bulan.
Pemangku Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata sebelum ini dua kali papan iklan diconteng dan disimbah cat.
“Tidak sampai sebulan MDKL menggantikan beberapa papan iklan yang disimbah cat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kali ini ianya diconteng pula,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata perilaku vandalisme itu merugikan harta benda awam serta mencacatkan persekitaran.
Hafiz yang kesal dengan perbuatan vandalisme yang dilakukan kerana pihaknya terpaksa menukar papan iklan itu dalam tempoh tidak sampai sebulan...kemudian dihadapan masjid bandar sultan sulaiman dan beberapa kawasan lain juga menghadapi masalah yang sama,umpama ada gerakan khas untuk melakukan perkara ini
Bagaimanapun MDKL sudah merancang menggantikan papan tanda berkenaan kepada papan tanda lain selewat-lewatnya minggu depan.
“Kami perlu menggantikan papan iklan sedia ada kepada papan iklan ‘Visit Kuala Langat’ minggu depan tetapi tidak sangka semalam kejadian yang sama berulang semula.
“Masyarakat perlu tahu papan iklan yang diganti semula memerlukan perbelanjaan yang besar, jadi kerjasama daripada semua pihak untuk menjaga harta awam perlu digiatkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang kecewa dengan tindakan berulang kali itu menggesa pihak yang bertanggungjawab agar datang bersemuka jika tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pakatan.
“Lebih menyedihkan bulan ini merupakan bulan melawat Kuala Langat dan kejadian ini memberi kesan kepada tanggapan pengunjung terhadap daerah ini,” katanya.
Abdullah Sani berkata, baginya tindakan memangkah gambar pemimpin PR merupakan tindakan sabotaj selain menakutkan orang ramai untuk memilih PR dalam pilihan raya akan datang.

MP GERMAN:bimbang satu lagi cubaan KERAJAAN MALAYSIA gugurkan ANWAR IBRAHIM

: Ahli Parlimen Jerman, Dr Thomas Gambke berkata, cubaan terbaru Kerajaan Malaysia untuk menyingkirkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampakkan mentaliti mereka yang tidak demokratik malah menakutkan.
“Berita yang sangat membimbangkan datang dari Malaysia. Anwar dan beberapa lagi didakwa melanggar Akta Perhimpunan Awam, iaitu akta baru yang menyekat hak untuk berhimpun.
“Saya bimbang ini akan menjejaskan tugas Anwar selaku Ketua Pembangkang, dan kebimbangan saya ini berasas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Biro Komunikasi KEADILAN.
Beliau mengulas demikian sejurus selepas Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN, bersama Timbalannya, Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwa melanggar Akta Perhimpunan Awam 2012.
Kebimbangan itu menurut Gambke berikutan Pembangkang Malaysia dinafikan akses kepada media, terutamanya televisyen.
“Justeru, penampilan awam adalah satu-satunya cara mereka untuk memberi makluman kepada rakyat tentang dasar perjuangan mereka,” jelasnya lagi.
Gambke yang merupakan Ketua Asean Parliamentary Group berkata, sokongan terhadap Anwar ini adalah sebahagian dari kerjasama istimewa di bawah program ‘Parliamentarians Protect Parliamentarians’.
Sebelum ini, sekumpulan Ahli Parlimen Jerman menyifatkan perbicaraan Fitnah II terhadap Anwar sebagai satu cubaan BN untuk menyingkirkannya.
Kumpulan itu yang datang daripada Asean Parliamentary Group untuk Parlimen Jerman berkata, perbicaraan Fitnah II bertujuan merencatkan momentum reformasi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum.
Dalam lawatannya ke Malaysia pada awal 2011 semasa kes Fitnah II itu masih berjalan, Gambke memberitahu, keraguan mereka telah terbukti bahawa perbicaraan itu merupakan proses menyingkir seteru politik.
Justeru, mereka menuntut Najib dan pentadbirannya berlaku adil kepada Anwar di samping tidak memanipulasi proses pilihan raya untuk terus berpaut pada tampuk kuasa.
Bagaimanapun, selang beberapa bulan selepas dibebaskan oleh mahkamah, Anwar kini berhadapan satu lagi kempen politik oleh kerajaan Umno BN bermotif politik.

Prof AZIZ BARi antara 4 TOKOH yang bakal meyertai KEADILAN

 Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan empat muka baru yang menyertai parti itu bakal menerajui bersama-sama kepimpinan sedia ada.
Mereka adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Pakar Perlembagaan dan bekas tokoh akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); bekas Pengurus Kanan Am Jabatan Perniagaan Antarabangsa di Nam Fatt Corporation Berhad, Koh King Kee; bekas Pegawai Tertinggi Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab dan bekas pengarang laman portal online The Malaysian Insider, Praba Ganesan.
Menurut Azizah, kesemua tokoh terbabit merupakan kebanggaan parti kerana penyertaan mereka dalam KEADILAN memberikan gambaran bahawa perjuangan Pakatan Rakyat (PR) bukan angan-angan kosong tetapi komited dalam memperjuangkan keadilan demi rakyat.
Beliau yang mengalu-alukan penyertaan empat tokoh itu bagaimanapun turut membuka pintu kepada mana-mana tokoh lain jika mahu menyertai parti itu.
“Abdul Hadi merupakan individu yang memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera atas pemecatan yang tidak sah beliau berhubung kehilangan dua enijn jet pejuang FSE dari kem TUDM di Sungai Besi.
“KEADILAN dengan tanpa syak telah melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan KEADILAN,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ganesan pula dilantik Pengurus Strategi Media Sosial KEADILAN.
“Manakala bekas Pengarang laman portal online The Malaysian Insider, Praba Ganesan yang sangat berpengalaman dalam media baru dilantik sebagai Pengurus Strategi Media Sosial KEADILAN yang akan merancang dan melaksanakan strategi berkaitan media sosial parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal menjelang.
“Penyertaan Dr Abdul Aziz Bari pula sangat membanggakan KEADILAN kerana kepakaran dan karismatik beliau menguntungkan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam usaha ‘Merdeka Rakyat’ dari rejim Umno dan Barisan Nasional (BN),” kata Wan Azizah lagi.

HELAH 'KLON' BERSIH memalukan MELAYU..!!

 24 Mei: Sekumpulan 100 pemuda termasuk remaja berkonvoi di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga bermula kira-kira jam 4.30 petang tadi.
Dengan aksi ala ‘Mat Rempit’, mereka yang bermotosikal menuju di hadapan kediaman di Jalan Setiakasih 1 itu terpaksa menghentikan motosikal kerana dihalang oleh oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kumpulan anti Bersih dengan seragam T shirt putih tertera tulisan ‘Halau 1.0′ itu kemudiannya berarak ke rumah Ambiga sambil mendendangkan lagu “Inilah Barisan Kita”.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga Kuala Lumpur (MBPKL), Datuk Jamal Yunus mengumumkan perancangan untuk mendirikan gerai berhampiran rumah Ambiga dibatalkan.
Tindakan itu dipercayai berikutan tidak mendapat kelulusan daripada DBKL.
Bagaimanapun, kumpulan yang difahamkan cuba membuat kecoh di depan rumah Ambiga hari ini yang terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) tidak kelihatan.

Pak SAMAD:AMBIGA 'kambing hitam' isu AGAMA/KAUM

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga menjadi sasaran ancaman pelbagai pihak disebabkan beliau keturunan India dan seorang wanita.

NONESebaliknya, kata A Samad (kiri), ancaman itu, antaranya 'senaman punggung' di hadapan rumah, tidak akan berlaku sekiranya beliau berada di tempat Ambiga.

"Ambiga memang sepatutnya (mengetuai). Beliau seorang peguam, beliau mempunyai pengalaman yang banyak, dia menerima pujian dan sebagainya.

"Malang, oleh kerana dia seorang India, dia bukan Islam, malang. Kalau Ambiga itu saya, tidak berlaku ancaman yang berlaku terhadapnya (seperti) menayangkan punggung," kata A Samad ketika ditanya perbezaan peranannya dalam BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0.

Samad, seorang lagi pengerusi bersama gabungan proreformasi sistem pilihan raya itu menegaskan bahawa "tiada perbezaan tetapi mempermudahkan" sesuatu perkara.

Ditanya sekiranya beliau dilihat lebih menonjol berbanding Ambiga, segala ancaman itu tidak akan timbul, Pak Samad menjawab:

NONE"(Beliau) seorang wanita kerana itu mereka bersedia untuk melanggar (Ambiga). Kalau dari mula saya (pimpin), barangkali ada kewarasan-kewarasan yang lain," katanya.

Pak Samad berkata, beliau mungkin juga akan dituduh dipengaruhi fahaman komunisme disebabkan beliau membaca buku tokoh aliran itu seperti Mao Zedong dan karya-karya sasterawan kiri antaranya Fyodor Dostoyevsky dan Boris Pasternak.

'Sisa kuasa' hebohkan Melayu disanggah


Beliau bagaimanapun menegaskan membaca buku-buku jenis itu bukan untuk mengikuti fahamannya sebaliknya hanya mahu membandingkan karya pelbagai aliran.

"Jadi sebagai seorang penulis, (kita) ingin memahami. Kita membaca di pihak sana untuk mewaraskan pihak di sini. Ini (tidak), kita baca di pihak sana, tapi terus dicop (mengikuti) pihak sana (juga). Itu salah (menurut pandangan) otak orang-orang yang resah," katanya.

Tokoh yang mesra dipanggil "Pak Samad" berkata rakyat Malaysia mudah bertelagah disebabkan isu perkauman.

NONEMalah, katanya, golongan yang disifatkannya sebagai "sisa kuasa" mula menghebohkan bahawa kuasa Melayu sedang disanggah atau kaum lain akan menyanggah ketuanan Melayu.

Pak Samad bagaimanapun mempersoalkan kewajaran perkara itu ditimbulkan dan membangkitkan apa yang dilakukan pihak yang membangkitkan perkara itu untuk melindungi ketuanan Melayu ketika berada di "takhta kuasa".

"Pada hal kita tidak mudah untuk mempercayainya. Oleh kerana kita merdeka sudah lama, kita mempunyai perdana menteri, semuanya Melayu. Timbalan perdana menteri, semua Melayu," katanya.

Ditanya sama ada golongan sastera mengambil peduli isu dibangkitkan BERSIH, Pak Samad mengakuinya tetapi menurutnya "bukan tugasnya untuk memobilisasi" kumpulan tersebut.

"Mereka perlu bertanyakan hati mereka, adakah mereka harus menyertainya. Tugas saya untuk memperjelaskan inilah situasi siasah negara kita.

"Adakah kita mahu berlanjutan atau kita mahu mengubahnya," katanya sambil menambah kumpulan sastera tidak terpisah dengan isu politik apabila menghasilkan karya atau mengadakan sesuatu perbincangan

UTUSAN kalah lagi,padah memfitnah dan putar belit media UMNO..!!

 Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos rayuan Utusan Malaysia ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Utusan membayar gantirugi RM60,000-00 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Pada 21 November lalu Hakim Prasad Sandhosham Abraham telah memutuskan bahawa artikel di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 10 September 2009 bertajuk 'ZULKIFLI BIDAS ‘PAK JANGGUT’ ” adalah memfitnah ke atas Khalid Samad.

Antara lain artikel tersebut menulis:

'Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seskyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling pelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,'katanya
.'

Mahkamah memutuskan perkataan “Pak Janggut” di artikel tersebut adalah merujuk kepada Khalid Samad kerana sebelum artikel tersebut diterbitkan, Khalid ada menulis surat kepada penduduk seksyen 23 Shah Alam supaya mereka berlaku adil walaupun ke atas orang bukan Islam dalam isu penempatan semula kuil hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Utusan telah memfailkan rayuan ke atas keputusan hakim tersebut di mana rayuan tersebut telah didengar pada pagi ini di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Pada prosiding pagi ini Mahkamah telah membenarkan permohonan Notis Usul yang difailkan oleh Khalid Samad bagi membatalkan rayuan Utusan atas alasan Notis Rayuan tersebut cacat kerana pihak Utusan telah gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan rayuan mereka.

Ketika membacakan keputusannya pagi tadi Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menyatakan bahawa beliau, Hakim Datuk Azhar Haji Ma’ah dan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail iaitu panel hakim yang mendengar rayuan tersebut sebulat surat menolak rayuan Utusan kerana kecacatan rayuan tersebut.

Mahkamah menyatakan rayuan tersebut adalah bercanggah dengan seksyen 68 (1) (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memperuntukkan bahawa sebarang rayuan yang kurang dari RM 250,000-00 wajib mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu.

Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM10,000-00 kepada Khalid Samad.

Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Utusan diwakili oleh Encik Mohana Kumar dari Tetuan Shafiee Mohan.

PUISI JADI SENJATA:tajuk buku PAK SAMAD yang bakal meletopp!!

: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan lancarkan buku terbarunya, “Puisi Jadi Senjata 2″ dalam program Himpunan dan Konvensyen Belia Selangor 2012 di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 7 pada Jumaat ini.
Selepas majlis pelancaranya pada jam 9 malam, selebriti terkenal tanahair dan Pengerusi Bersama Bersih 3.0 itu akan turut mendeklamasikan sajak dari bukunya tersebut.
Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata program dari Jumaat hingga Sabtu itu dianjurkan melalui Bahagian Pembangunan Belia, Majlis Sukan Negeri Selangor memberi pengertian bermakna dengan tajuk utama “Anak Muda Penentu Kepimpinan dan Pemacu Pembangunan Selangor dan Negara”.
Katanya, pihaknya menganggarkan seramai kira-kira 2,500 orang belia dan beliawanis dari seluruh Selangor akan menghadirkan diri dalam program tersebut.
Menurutnya, penyertaan bagi program itu adalah dari seluruh belia dan beliawanis, Pengerusi dan ahli jawatankuasa Penggerak Belia Tempatan (PeBT), belia dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia serta kalangan mahasiswa dan mahasiswi.
“Pelbagai program dan pengisian telah direncanakan bagi memberi peluang belia dan beliawanis Selangor berhimpun dan berbicara mencambah pengalaman, berkongsi pengetahuan dan pendapat.
“Kerajaan Negeri yakin golongan belia yang akan meneruskan agenda perubahan dan kemajuan di Selangor ke arah membentuk sebuah negeri idaman yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
“Belia dan beliawanis merupakan barisan kepimpinan masa depan negeri harus diberi penuh pendedahan dan pendidikan sebagai pemimpin masa depan negeri seterusnya negara,” katanya.
Antara aktiviti dijalankan adalah persembahan muzik, kugiran serta teater jalanan selain penjualan makanan dan pasar lambak. Selain itu sesi forum dan konvensyen turut dijalankan melibatkan panelis dari pelbagai persatuan belia dan NGO.
Acara kemucak program adalah ucaptama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu jam 9 pagi. Tetamu kehormat lain yang terlibat adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sempitnya politik UMNO,cabaran debat dipotong oleh ASTRO AWANI

KUALA LUMPUR: Astro Awani dalam siaran ulangannya semalam, memotong bahagian moderator Dr Maszlee Malik yang mencabar debat antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan segera.


(Dr Maszlee, moderator debat Rafizi KJ yang memanaskan Najib)

Malam semalam, stesen berbayar itu menyiarkan secara langsung debat PTPTN anjuran Sinar Harian antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang dikendalikan Dr Maszlee Malik sebagai perantara.

Menariknya, dalam debat itu moderator secara terbuka mencabar perdana menteri dan ketua pembangkang berdebat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Tindakan itu sekaligus menghangatkan semula politik tanah air apabila cadangan debat itu sebenarnya pernah dibuat sendiri oleh Anwar sejak tahun lalu, namun tidak dilayan oleh Najib sehingga isu itu tenggelam begitu sahaja.

Namun dengan cadangan terbaru Maszlee dalam forum yang dipancar secara langsung di televisyen swasta itu, membuka semula isu tersebut untuk diperdebat rakyat.

Di Facebook, Twitter, blog sibuk memperkatakan perkara itu dan mahu Najib menerima cadangan untuk berdebat dengan Anwar yang telah lama dinanti-nanti oleh rakyat.

Di Youtube pula, rakaman cabaran debat yang diajukan oleh moderator itu juga turut dimuat naik.

Bagaimanapun Astro didakwa memotong bahagian cabaran debat itu pada siaran ulangannya semalam.

Harakahdaily diberitahu, sebaik sahaja selesai debat itu, beberapa pemimpin Umno yang turut hadir telah menyerang pihak Astro kerana menyiarkan cabaran Dr Maszlee itu secara langsung.

Translate's version