Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pampasan itu perlu dinilai oleh kerajaan berdasarkan beberapa perkara, antaranya tempoh ditahan, kos ulang alik ke kem tahanan dan keruntuhan rumah tangga.
"Semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga," katanya dipetik Malaysiakini.
Malah, GMI berharap Najib benar-benar ikhlas untuk mengotakan janjinya itu.
"Kami berharap kerajaan benar-benar serius untuk membuat penilaian... Ini yang perlu dikaji oleh kerajaan," katanya dipetik Malaysiakini.
Semalam, Najib dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di RTM berkata kerajaan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959.
Selain itu, kerajaan juga akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa dan " tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan".
Kajian semula komprehensif itu akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Bercakap dalam sidang media di ibu negara pagi ini, Syed Ibrahim berkata berdasarkan perkembangan terbaru itu, mereka juga menuntut:
Semua "pemuka" yang terlibat dalam menyeksa tahanan ISA mesti di bawa pengadilan.
Kerajaan, menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh perdana menteri dalam ucapannya bukan sekadar "servis bibir".
Kerajaan mestilah memansuhkan lain-lain undang-undang tanpa bicara seperti Akta Dadah Merbahaya.
Kerajaan melaksanakan kajian semula dengan segera dalam tempoh yang spesifik terhadap undang-undang yang menghadkan kebebasan rakyat dan media seperti Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Kerajaan mesti patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan aktiviti antipengganas dan melakar pelan jangka panjang dalam membangunkan mekanisme menanganinya keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan.
Kerajaan mesti menangani dan mengesahkan International Covenant on Civil and Political Right (ICCCPR) dan Covention Against Torture dan Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT).


No comments:
Post a Comment