Saturday, 24 September 2011

Hudud Bukan Alasan Manifesto Buku Jingga Diabaikan

Manifesto gagasan Pakatan Rakyat perlu diutamakan berbanding prinsip parti masing-masing menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
 
Justeru katanya fokus mengangkat martabat rakyat perlu diketengahkan bagi merialisasikan hasrat membentuk sebuah kerajaan baru.

"Sesungguh pun parti dan komponen Pakatan Rakyat ada pendirian tentang isu masing-masing, tetapi kita bekerjasama atas satu landasan yang telahpun dipersetujui dan dicatit secara hitam putih dan ditandatangani secara bersama. 

"Inilah yang kita panggil manifesto PR," katanya kepada media.

Namun Guan Eng berkata DAP tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong cadangan PAS Kelantan melaksanakan Hudud selain berharap keputusan tersebut dihormati kedua-dua pihak.

"Pendirian Nik Aziz tentang Hudud amat konsisten. Sama juga dengan pendirian DAP juga konsisten bahawa kita kurang bersetuju," tambah beliau.

Musyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam kenyataannya berkeras untuk melaksanakan Hudud walaupun tidak dipersetujui rakan DAP.

Malah beliau menyatakan bahawa PAS tidak akan berkrompomi dengan pendapat pemimpin-pemimpin DAP yang menentang cadangan itu termasuk Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Tambahnya, walaupun DAP menolak hasrat penubuhan negara Islam, beliau tetap menggunakan pendekatan berhemah agar golongan pemimpin dapat memahami apa yang diperjuangkan PAS selama ini.

Sementara itu Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh khuatir tindakan Pas itu akan memberikan kesan negatif terhadap Pakatan Rakyat terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

Peguam itu turut berpendirian bahawa cadangan itu bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa undang-undang yang diguna pakai di Malaysia merupakan bukan undang-undang Islam.

Ahli parlimen Bukit Gelugor itu kemudian berkata, hasrat utama gagasan itu adalah untuk menubuhkan sebuah negara kebajikan dan bukan Negara Islam seperti yang dicapai dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Justeru Karpal tidak mahu memberi sebarang komen terhadap kenyataan Nik Aziz yang seolah-olah mengabaikan peranan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"Kita lihat dulu apa yang sebenarnya yang dikatakan oleh beliau (Nik Aziz)," katanya

No comments:

Post a Comment

Translate's version