Monday 30 July 2012

Rampas baju dalam restoran/tanpa tunjuk kad kuasa:BERSIH 3.O

 Seorang lagi saksi merupakan Penolong Pengurus Restoran Makanan Segera A&W di Cahaya Suria memberitahu, polis memaksa pekerjanya membuka pintu restoran tanpa menunjukkan sebarang kad kuasa pada 28 April lalu.
Nasir Abd Ghani, 41, saksi ke-19 dalam sidang kelapan siasatan awam Bersih 3.0 oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
“Kami menjalankan perniagaan seperti biasa sehingga jam 11.00 pagi dan buka semula selepas himpunan berakhir iaitu sekitar jam 7.00 petang,” kata Nasir.
“Sejurus itu, beberapa pelanggan datang, tapi tidak memakai baju kuning. Mereka makan seperti biasa,” jelasnya.
“Kemudian dalam jam 7 lebih, sekumpulan polis datang mengetuk pintu dan memaksa kami membuka pintu restoran. Malah, salah seorang pekerja dimarahi kerana lambat buka pintu,” kata Nasir.
Ditanya sama ada polis ada meminta kebenaran secara baik atau menunjukkan kad kuasa untuk masuk ke premis tersebut, Nasir menjawab, ‘tidak ada’.
“Setelah pintu dibuka, polis terus meluru ke meja pelanggan,” tambahnya.
“Saya tidak nampak apa-apa tindakan provokasi dari pelanggan yang menyebabkan polis datang menyerbu restoran,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak pasti apa yang berlaku sepanjang polis berada dalam premis berkenaan namun hanya terdengar bunyi bising dan mendapati polis beredar selepas itu sambil memegang baju kuning Bersih.
Nasir memberi keterangan di hadapan panel siasatan diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee, dibantu Pesuruhjaya, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Badan Peguam dan polis turut hadir sebagai pemerhati.

Mana mungkin saya berbohong..!!:saksi

 Seorang peserta Perhimpunan Bersih 3.0 menegaskan bahawa beliau memberikan keterangan yang benar mengenai peristiwa yang dialaminya dan peserta lain di perhimpunan tersebut pada 28 April lalu.

Goh Ban Huat, 48, (gambar) berkata, beliau faham dan tidak mungkin melanggar akuan bersumpah yang dibaca sebelum memberi keterangan di hadapan panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pemerhati pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

"Tidak mungkin saya berbohong dalam keterangan saya. Saya tidak fikir kamu semua bodoh untuk mendengar cerita bohong saya," katanya yang merupakan saksi ke-18.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemerhati dari pihak polis yang mengandaikan kemungkinan saksi menokok tambah dan mereka-reka cerita.

"Adakah Encik Goh rasa saksi berpeluang untuk mengada-ngadakan atau mereka-reka cerita?" soal wakil polis yang kemudiannya mendapat teguran daripada panel.

"Sebelum memberi keterangan saksi membacakan akuan bersumpah. Adakah Encik Goh faham akuan bersumpah itu?" soal salah seorang panel dan disusuli dengan jawapan, "Ya, saya faham" oleh Goh.

Sebelum itu, Goh memberitahu, sepuluh orang polis menendang pintu sebuah hotel dan masuk ke lobi untuk menangkap peserta yang berada di dalam selepas lari menyelamatkan diri akibat tembakan gas pemedih mata oleh polis.

"Polis mengarahkan semua orang keluar. Walaupun ada orang cakap 'ini tempat private', tapi polis tak endah. 

"Saya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sebab tidak mahu dipukul tapi bila keluar saya ditumbuk dan ditendang di pinggang," katanya sambil menambah, pinggangnya bengkak dan ada kesan lebam berwarna biru.

Tambah beliau lagi, semua peserta yang ditangkap dibawa ke Dataran Merdeka dan dibawa ke Pulapol kira-kira jam 7 malam.

Sepanjang dikumpulkan di Dataran Merdeka, mereka tidak diberikan makanan mahupun minuman. 

"Saya nampak sudah ramai yang berada di Dataran Merdeka sewaktu saya sampai dan ada beberapa orang yang mukanya bengkak dan berdarah," katanya yang merupakan seorang guru.

"Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Tiada kenaikan untuk air SEL:MB

30 Julai: Kerajaan Selangor akan memastikan tarif air di negeri itu tidak dinaikkan di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.
Untuk itu, Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menolak projek Langat 2 bagi memastikan rakyat mendapat air percuma.
“Sekiranya Langat 2 diteruskan, Selangor akan memikul beban kos sehingga RM2 bilion dan tarif air akan dinaikkan sehingga 70 peratus,” katanya dipetikmediaselangorku.
Khalid berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan rakyat yang selama ini terbeban dengan kos sara hidup tinggi di bawah pentadbiran Umno BN.
Sebelum ini, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  (KeTTHA) berdegil mahu meneruskan projek Langat 2 dan bercadang membuka tender kepada mana-mana syarikat yang layak.
Tindakan itu kononnya bagi mengelak tanggapan kroni Umno BN memperoleh keuntungan berganda jika projek itu diteruskan.
Dalam pada itu, Khalid menempelak pemimpin Umno BN yang berdegar-degar bercakap mengenai kebajikan rakyat tetapi masa sama mahu menaikkan tarif air.
Beliau turut menyelar, dakwaan Umno BN kononnya Selangor akan muflis dengan pemberian air percuma.
Kata Khalid, Pakatan Rakyat bukan sahaja membuktikan mampu menjaga kebajikan rakyat malah rizab kerajaan negeri juga bertambah.

Wednesday 25 July 2012

BERSIH 2.0 SAH:terus dgn 8TUNTUTAN

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 , Datuk A Samad Said berasa lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan gabungan itu sah.
Dengan keputusan itu, beliau yang dihubungi melalui panggilan telefon berkata, Bersih 2.0 akan meneruskan agenda memperjuangkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.
“Kita akan mengadakan rundingan dan perbincangan untuk menentukan pelan tindakan yang selanjutnya.
“Sekiranya ada keperluan untuk mengadakan sebarang tindakan mahupun perhimpunan aman, kemungkinan besar ia hanya akan berlaku selepas bulan puasa ini,” jelasnya yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.
Mengulas lanjut, Sastarawan Negara itu juga turut berkongsi kerunsingannya bersama anggota Bersih yang lain mengenai kemungkinan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Bersih.
“Namun, kami sentiasa percaya dan yakin sebelum ini bahawa apa yang kami perjuangkan ini adalah sah dan halal.
“Dari kepercayaan dan keyakinan itulah kami bergerak demi satu perjuangan yang berlandaskan demokrasi yang bersih.
“Akhirnya keputusan mahkamah juga turut bersama kami merestui perjuangan suci membela demokrasi demi rakyat dan masa depan negara,” tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan gabungan NGO Bersih sebagai sebuah pertubuhan haram pada 1 Julai tahun lalu, kira-kira seminggu sebelum perhimpunan yang diadakan pada 9 Julai di ibu negara.

MB Beri Duit Kepada Sekolah, Tetapi Dihalang Hadir Majlis Sumbangan

Kerajaan Selangor membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menghalang Menteri Besar, menghadiri majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di SMK Sultan Sulaiman, Bestari Jaya baru baru ini.
Tindakan ini membuktikan mereka tidak menghormati tugas dan tanggungjawab Tan Sri Abdul Khalid sebagai seorang wakil rakyat iaitu Adun Ijok.
Ia juga menunjukkan sikap tidak malu JPN yang menerima sumbangan RM 24,000 dari Kerajaan Negeri tetapi tidak sudi Abdul Khalid menghadiri majlis pemberian sumbangan itu.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin berkata, tindakan itu menindas wakil rakyat Pakatan Rakyat kerana jabatan itu tidak pernah menghalang mana-mana wakil rakyat Umno-BN menghadiri program sekolah.
“Jika benar mahu melaksanakan peraturan yang tidak membenarkan ahli politik menghadiri program di sekolah, kuatkuasa kepada semua wakil rakyat dan ahli politik.
“Namun ini tidak berlaku. Sekatan ini hanya dikenakan kepada wakil rakyat dari Pakatan Rakyat. Ini jelas membuktikan Jabatan Pendidikan telah lari dari tanggungjawab penubuhannya dan lebih berminat bermain politik,” katanya.
Minggu lepas Abdul Khalid, sebagai ADUN Ijok tidak dibenarkan untuk menyertai majlis sumbangan ke SMK Sultan Sulaiman di Bestari Jaya walaupun beliau dijemput oleh syarikat yang mahu memberi sumbangan tersebut.
Abdul Khalid juga menyumbang RM 24,000 dari Kerajaan Negeri.
Halangan tersebut dikeluarkan melalui satu pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada kakitangan pejabat DUN Ijok. Menurut SMS itu, Menteri Besar atau mana-mana wakilnya dihalang menghadiri majlis penyerahan sumbangan.
Faekah berkata, Abdul Khalid selaku wakil rakyat Ijok sewajarnya dijemput menghadiri program berkenaan kerana beliau turut memberi sumbangan.
Jelas beliau, program tersebut bukan bermotifkan politik sebaliknya program tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, sekatan ini langsung tidak dikenakan terhadap ahli politik UMNO-BN yang secara terang-terangan menghadiri atau menganjurkan program berbaur politik di sekolah.
“Saya juga dimaklumkan pemimpin UMNO di Selangor bebas keluar masuk ke sekolah  untuk menghadiri program. Malah, (Ketua Umno Selangor) Datuk Seri Noh Omar juga mengadakan lawatan ke Jabatan Pendidikan Negeri baru-baru tanpa diketahui atas kapasiti apa.
“Adakah  UMNO-BN tidak lagi mempercayai KEMAS sehinggakan terpaksa mempergunakan Jabatan Pendidikan sebagai mata dan telinga?,”  katanya

KUrangkan harga kereta: manifesto PR

Pakatan Rakyat akan menjadikan pengurangan harga kereta - yang dianggap barangan keperluan - sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang baru dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 72 peratus isi rumah menggunakan kereta sedangkan 53 peratus isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

NONEPeratusan yang tinggi itu katanya, berpunca daripada kegagalan Dasar Automatif Negara yang digubal BN pada tahun 2006.

Pada masa sama katanya, hutang kereta persendirian meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam masa 18 bulan sejak November 2010.

Ini membuktikan ia adalah isu pilihan raya yang perlu diberikan
perhatian oleh parti-parti yang bertanding, kata Rafizi.

"Keadaan ini membayangkan bahawa hutang kereta yang disebabkan harga kereta yang tinggi adalah satu beban utama pada rakyat," katanya.
Menurut Rafizi, harga kereta kini tinggi kerana rakyat membayar duti eksais, cukai import dan cukai jualan apabila membeli kereta.

Harga tinggi kerana cukai, duti eksais
Pengenalan duti eksais - sekurang-kurangnya 60 peratus daripada harga kereta - pada masa itu dilakukan untuk mengimbangi cukai import yang dikurangkan kerana Asian Free Trade Agreement (AFTA), katanya.

Rafizi mendakwa tindakan itu dibuat setelah kerajaan antara lainnya menerima nasihat daripada syarikat perunding Ethos Consultancy yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

toyota car manufacturer loss of sales report 221208 03"Beliau (Khairy) perlu kongsi dengan kita apakah pertimbangan pada masa itu yang membuatkan kerajaan perkenalkan duti eksais," katanya.

Duti eksais ke atas kereta juga kata Rafizi, ibarat mencukai rakyat atas pembelian barang keperluan seperti makanan, air dan elektrik.

"Anda (kerajaan) tidak sepatutnya menghukum rakyat dengan kutip cukai atas barang keperluan.

"Kalau ada ruang fiskal (belanjawan) yang perlu ditutup, kerajaan perlu cari mekanisma lain," katanya.

Justeru katanya, Pakatan akan melihat kemungkinan menghapuskan duti eksais secara berperingkat untuk mengurangkan harga kereta.

ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam sidang media sama berkata pimpinan muda PKR akan membuat jelajah keliling negara untuk berdialog dan menerangkan perkara itu kepada orang ramai bermula 5 Ogos ini.

"Kita cadangkan dialog peringkat kebangsaan.

"Kita mahu dengar (cadangan) daripada rakyat dan kumpulan berkepentingan seperti Malaysian Automotive Association (MAA), berkenaan perkara ini," katanya. 

Tuesday 24 July 2012

BERSIH NGO sah..!!..:kputusan mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.
Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya pagi ini berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

NONEOleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan BERSIH, dengan tiada perintah tentang kos.
 Empat belas jawatankuasa pemandu BERSIH yang diketuai oleh Datuk S Ambiga telah menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai responden.

Pada 1 Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, sejurus sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.
Dalam penghakiman 30-muka surat itu, hakim menyentuh sejarah permohonan yang mencabar keputusan Hishammuddin mengisytiharkan gabungan NGO itu sebuah pertubuhan haram.

Walaupun perisytiharan itu dibuat, tambahnya, pihak berkuasa masih terus bertemu dengan pegawai BERSIH.

"Terdapat rundingan antara pemohon dan responden (kerajaan) mengenai lokasi perhimpunan pada 9 Julai," katanya.

NONE"Ada majlis mengadap ( Yang di-Pertuan Agong oleh) pemohon 
pertama (pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga, kanan) dan tiada celaan terhadap BERSIH (dalam menjalankan) aktiviti (perhimpunan 9 Julai 2011) seperti yang dijadualkan."

Mahkamah telah mengambil notis kehakiman bahawa Hishammuddin telah membuat suatu pernyataan awam untuk membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili responden, berkata Peguam Negara akan diberi taklimat dan untuk arahan selanjutnya.

Azizan serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsulbol Hassan, mendakwa bahawa keputusan mahkamah itu menjadikan BERSIH balik ke peringkat asalnya (perlu didaftarkan).

Bagaimanapun, peguam BERSIH, K Shanmuga - yang tampil bersama peguam Tommy Thomas dan Honey Tan - berkata keputusan itu bermakna gabungan itu adalah sah di sisi undang-undang.

"... Keputusan menteri dalam negeri adalah tidak rasional kerana, setelah mengisytiharkannya sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara, beliau dan pihak berkuasa telah bertemu dengan pegawai BERSIH," kata Shanmuga.

Ambiga tidak hadir di mahkamah kerana beliau di luar negara.

Pengerusi bersama BERSIH yang juga Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said (kiri), ketika ditemui di luar mahkamah berkata: "Proses perundangan ini sepatutnya tidak dijalankan kerana ia membuang masa, tenaga dan dana am. 

NONE"Proses ini menyebabkan orang ramai khuatir untuk sokong BERSIH. Org ramai harus ingat bahawa kerajaan masih 
menggambarkan BERSIH sebagai "kotor" di mana perdana menteri telah menyatakan BERSIH telah membahayakan kuota haji yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi

"Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa Hakim Datuk Rohana Yusof telah pun melihat percanggahan dalam tindakan pihak berkuasa (apabila) dalam perbicaraan (pada) 26 Jun, kenapa kerajaan layan permintaan BERSIH untuk adakan perhimpunan tersebut (walaupun ia telah diisytiharkan sebagai haram)," tambahnya. [Baca berita penuh]
Sementara itu,  Bernama melaporkan bahawa Hakim Rohana berkata beliau membenarkan petisyen 14 anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, termasuk Datuk S. Ambiga, untuk membatalkan perintah menteri itu berdasarkan BERSIH 2.0 terdiri daripada gabungan badan berdaftar.
    
Dalam penghakimannya, Rohana memutuskan keputusan mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta berkaitan atau mengambil kira fakta yang tidak relevan.
    
"Pada pendapat saya, keputusan itu dicemari kerana dibuat secara tidak rasional," katanya. 
    
Rohana berkata alasan mengeluarkan pengisytiharan mengikut Sekysen 5 Akta Pertubuhan 1966, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman oleh menteri (responden pertama Hishammuddin), tidak boleh berubah dalam tempoh beberapa hari. 
    
"Adalah tidak munasabah bagi sesebuah pertubuhan yang didapati menyalahi undang-undang untuk alasan serius, seperti digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara pada 1 Julai, dan kemudian tidak lagi pada 5 Julai 2011," katanya.
    
Rohana berkata walaupun boleh dikatakan BERSIH 2.0 adalah sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud memudaratkan keselamatan sebelum perintah itu dibuat, ia tidak boleh menjadi kes seminggu, kerana selepas itu alasan berkenaan tidak lagi sah atau digunakan.
    
Rohana berkata mahkamah juga turut menimbangkan notis kehakiman kenyataan awam menteri (Hishammuddin) yang membenarkan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 28 April lepas tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
    
Beliau menekankan bahawa keputusan untuk mengharamkan BERSIH 2.0 adalah menceroboh hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya.
    
Selain itu, beliau berkata tiada tindakan diambil di bawah Akta Pertubuhan terhadap pemohon walaupun mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan itu selepas menteri membuat pengisytiharan.
    
"Secara ringkas, BERSIH 2.0 tidak boleh menjadi sebuah pertubuhan yang digunakan bagi maksud menjejaskan keselamatan pada 1 Julai 2011, kemudian tidak lagi seminggu selepas itu. Malah sekiranya ia adalah sedemikian, jadi pengisytiharan itu harus diketepikan sewajarnya," kata Rohana. 
    
Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata beliau perlu mengkaji penghakiman bertulis itu terlebih dahulu sebelum mendapatkan arahan lanjut  daripada Pejabat Peguam Negara.
    
Sementara itu, seorang peguam pemohon, K. Shanmuga memberitahu pemberita dengan keputusan itu, BERSIH 2.0 bukan lagi sebuah pertubuhan haram. 

Monday 23 July 2012

Terkulai dihumban ke TRAk POLIS:saksi BERSIH 3.0

 23 Julai: Seorang lagi saksi, Hanif Ahmad Zainuddin, 36, memberitahu, beliau sempat menyaksikan seorang peserta himpunan dibelasah hingga terkulai sebelum dibaling ke dalam trak oleh polis.
“Dalam perjalanan saya dibawa polis ke trak, saya sempat menyaksikan seorang peserta dalam usia 20 an dibelasah sehingga tak mampu bangun, tapi masih ditendang dan dipijak polis,” katanya.
“Kemudian, bila peserta tersebut terkulai, polis bertindak membaling mangsa begitu saja ke dalam trak,” sambung beliau.
Hanif merupakan saksi pertama sidang keempat pendengaran awam perhimpunan Bersih 3.0 oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Menurut Hanif, sewaktu sedang duduk menunggu LRT dibuka semula, sekumpulan polis datang mengetuk kepala dan membelasah beliau.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Badan Peguam Malaysia dan polis turut hadir sebagai pemerhati.

BERSIH 3.0:Adik dibelasah bela abang,(keganasan POLIS)

 23 Julai: Saksi memberitahu, beliau turut dibelasah dan dikejar sekumpulan polis gara-gara cuba menghentikan keganasan anggota terbabit dari terus memukul abang kandungnya pada Himpunan Bersih 28 April lalu.
Hanafi Ahmad Zainuddin, 34, merupakan adik kepada saksi pertama pendengaran awam sidang keempat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini, Hanif Ahmad Zainuddin, 36.
“Ketika kami sedang duduk dalam kumpulan, tiba-tiba datang sekumpulan polis ke arah kami dan kemudian menarik abang saya,” kata Hanafi.
“Kumpulan polis dalam lingkungan 10 hingga 15 orang itu terus menerus membelasah abang saya sampai dia tak berdaya,” katanya lagi.
Menurut Hanafi, apabila dia melaungkan ‘berhenti pukul abang saya’, polis tersebut bertindak menyerangnya pula.
“Tiga hingga empat anggota kemudian menyerang saya, tumbuk muka dan hentak belakang saya.  Nasib baik saya berjaya larikan diri,” jelas beliau.
Hanafi kemudian menuju ke arah Pasar Seni dan menyembunyikan diri sebelum pulang menaiki LRT.

Friday 20 July 2012

SAY NO TO 'JANJI DITEPATI"...

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru negeri-negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR) supaya tidak menggunakan tema Hari Merdeka kerajaan Umno Barisan Nasional iaitu "Janji Ditepati".

"Tema itu direka khusus untuk kempen pilihan raya Umno BN dan bukan tema yang berjiwa patriotik yang boleh dikongsi oleh semua rakyat," katanya.

Tema "Janji Ditepati" itu, katanya, adalah tema yang bersifat kempen yang tidak berbeza sama sekali dengan kempen lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Jika rakyat tidak mahu menyambut Hari Merdeka secara terbuka tahun ini, jangan salahkan mereka kerana itu salah kerajaan Umno BN sendiri.

"Semua itu kerana mereka menolak slogan tidak patriotik itu yang terang-terang berkempen untuk Umno BN. Rakyat tak nak tema itu," kata Mahfuz sambil menyelar kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak salahgunakan sambutan Hari Merdeka untuk kepentingan kuasanya dan parti yang dipimpinnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyeru negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan PR supaya menggunakan tema Hari Merdeka yang melambangkan kecintaan kepada negara.

"Boleh guna tema seperti "Demi Malaysia" di mana kita mengajak semua rakyat selamatkan Malaysia dari cengkaman rasuah, penyalahgunaan kuasa, perkauman, kronisme dan sebagainya," kata Mahfuz.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim semalam mengakui tema tersebut adalah slogan kempen pilihan raya.

"Jika pembangkang merasakan ini adalah satu slogan kempen pilihan raya, saya rasa tidak salahnya untuk mengatakan demikian," kata beliau.

Katanya, parti-parti pembangkang boleh buat yang sama dan biar rakyat membuat keputusan pakatan mana yang mereka mahu sokong, sambil mendakwa tindakan sedemikian adalah sistem Linkdemokrasi yang juga digunapakai oleh banyak negara lain.

Kait dengan PENGANAS;modal UMNO menjelang PRU13

DAP menyelar kerajaan BN yang didakwa tiada idea dengan mendakwa Pakatan Rakyat diresapi bekas komunis dan pengganas, kata pemimpin popular DAP Lim Kit Siang.

Lim sehubungan itu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan kewajaran mereka membenarkan polis Cawangan Khas mengumumkan perkara itu kepada orang ramai.

NONE"Najib dan Hishammuddin patut menjelaskan kenapa mereka memberikan lampu hijau kepada Cawangan Khas mengumumkan cerita yang sukar dipercayai ini," katanya.

Lim berkata, laporan itu hanya menjadi bahan ketawa dan lawak politik paling buruk sepanjang tahun ini dan cuba menentukan penggubalan dasar tertinggi kerajaan dan tahap keselamatan dalam negara.

Bernama malam tadi melaporkan risikan Cawangan Khas polis mendedahkan, terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dilaporkan berkata Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Malah, katanya, beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand, dipercayai mengadakan pertemuan sulit dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Thursday 19 July 2012

TEMA merdeka 2012,promo undi UMNO yang BACUL..!!

Tema ‘Janji Ditepati’ yang dijadikan tema sambutan kemerdekaan ke 55 tahun ini dianggap tidak wajar kerana membawa pendekatan propoganda politik Umno-BN di saat negara menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
Perkara ini dilontarkan oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung tindakan Kerajaan Pemerintah yang menjadikan slogan tersebut sebagai masej politik.
“Sambutan Hari Kemerdekaan adalah untuk semua rakyat Malaysia, malangnya Umno-BN menggunakan ruang ini untuk melaung-laungkan slogan politik mereka,”jelasnya.
Tema ‘Janji Ditepati’ mula diangkat oleh Kerajaan Pusat dalam usaha kempen mereka menerusi program Jelajah pemimpin BN keseluruh negara.
Mengulas lanjut, Charles berkata Kerajaan Pusat seakan terdesak sehingga menggunakan ruang pada Hari Kemerdekaan nanti untuk terus melebarkan kempen mereka.
“Ini akan membangkitkan kemarahan rakyat bagaimana satu parti politik menggunakan propaganda politik mereka sendiri untuk tujuan berkempen.
“Sewajarnya satu tema yang lebih bersikap bebas (politik) untuk diangkat sebagai tema hari Kemerdekaan yang mana ia boleh diterima oleh semua rakyat di negara ini,”ujarnya ketika dihubungi TVSelangor.
Pada penghujung Jun lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatimmengumumkan ‘Janji Ditepati’ sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini.
Rais ketika itu juga menggesa agar semua pihak mengenepikan perbezaan politik dan menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 nanti.

UMMI HAFILDA memfitnah..!!:MAT KOMANDO

19 JULAI : Aktivis Pakatan Rakyat, Raja Kamaruddin Raja Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai “Raja Komando” mendakwa aktivis Umno-BN Ummi Hafilda Ali menuduhnya sebagai menerima ganjaran daripada kerajaan Selangor.
Raja Kamaruddin berkata beliau akan juga memfailkan saman terhadap portal Umno Online dalam tempoh terdekat ini.
Katanya, Ummi Hafilda mendakwa beliau dilantik pengerusi syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) selepas menjadi saksi dalam kes Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Katanya, beliau tidak pernah ‘menadah tangan’ untuk meminta apa-apa projek pengurusan pasir di Selangor.
“Saya ikut saluran yang betul. Dia (Ummi) kata saya dapat imbuhan dari Pakatan Rakyat. Dia tuduh saya kata saya dilantik sebagai KSSB sebagai satu ‘ganjaran’ untuk menguruskan semua projek pasir di Selangor.
“Tunggu satu atau dua hari lagi, saya akan saman Ummi dan Umno Online. Kita tengok dia berani atau tidak. Ini janji seorang reformasi,” katanya ketika berucap di ceramah Merdeka Rakyat di Jalan Kebun, semalam.
Ummi sebelum ini mendakwa jawatan Raja Kamaruddin sebagai Pengerusi KSSB adalah ‘ganjaran’ selepas menjadi saksi kes Anwar pada tahun 1998.

PAPA GOMO,bakal terlingkup..!!..gagal ketepikan saman

 Blogger mesra Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dikaitkan dengan blog Papagomo hari ini gagal membatalkan tuntutan saman seorang peguam terkenal, Datuk Sukri Mohamed terhadapnya.

Mahkamah Tinggi di sini menolak dengan kos saman dalam kamar ke atas beliau atas alasan teknikal perundangan.

Sukri bekas anggota parlimen Machang, sebelum ini pernah menggemparkan negara berkahwin dengan seorang artis, menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta ekoran berita fitnah yang disiarkan blog milik defendan.

Dalam tuntutan samannya, Sukri mendakwa defendan bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di dalam ruangan blog; http://www.papagomo.com bertajuk “ratusan ribu wang rakyat lesap disamun penasihat Sultan Kelantan” pada 4 Mei 2011.

Artikel tersebut disifatkan secara jelas menyebut secara langsung berita tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan plaintif.

Katanya, defendan menulis dan menyebarkan berita yang tidak benar mengenai plaintif yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat dengan menggunakan kedudukan sebagai Penasihat Sultan.

Mahkamah juga menolak dengan kos saman dalam kamar blogger terbabit untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan sekarang defendan menetap di sana.

Kes didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi dan Rusilawati Zakaria, manakala Wan Muhammad Azeri diwakili Shahrul Aswad Ismail.

“Selaras dengan itu mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan ikatan dokumen untuk perbicaraan dan pengurusan kes pra-bicara pada 5 September hadapan,” kata Hisham.

Tuesday 17 July 2012

POLITIK SAMSENG UMNO:Nurul Izzah pula jadi mangsa

 Kemaraan Pakatan Rakyat (Pakatan) ke Johor tidak mampu dibendung oleh Umno BN. Buktinya pada ceramah dihadiri Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar di Felda Pagoh malam tadi turut diganggu sekumpulan samseng Umno.
Mereka yang memakai baju Umno dan Jati termasuk kanak-kanak diupah membuat provokasi dengan mengibarkan bendera serta menyanyikan lagu Umno semasa ceramah berlangsung.
Kumpulan itu turut melaungkan sorakan ‘tibai’ dan ‘liwat’, malah kain rentang yang tertulis “PKR tiada di hati kami, hanya Umno di hati kami dan jangan ganggu kawasan kami” juga dikibar.
Provokasi menjadi lebih panas sebaik Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengambil tempat untuk berucap. Bagaimanapun, gangguan berjaya dihalang oleh petugas Unit Amal.
Dalam ucapannya, Izzah meminta hadirin tidak takut dengan provokasi murahan Umno itu.
“Saya minta agar rakyat tidak perlu takut dengan provokasi murahan kerana kejadian ini sering berlaku apabila Pakatan Rakyat mengadakan ceramah. Umno jangan ingat negara ini milik mereka…Negara ini kepunyaan rakyat, jadi suara rakyat seharusnya dihormati.
“Pimpinan Umno sewajarnya mendidik penyokong mereka agar menghormati majlis orang. Jika tidak suka seseorang atau tidak suka parti Pembangkang, mereka seharusnya tidak menghina, mengaib orang lain kerana Islam tidak ajar kita buat demikian,” tegas Izzah.
Beliau juga mengajak seluruh rakyat Johor membuat perubahan pada PRU13 nanti.
“Di Selangor, pelbagai kejayaan dikecapi dalam tempoh empat tahun Pakatan memerintah.
“Rakyat Selangor bagi warga emas 60 tahun ke atas menerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM2,500, sumbangan tersebut diberikan kepada waris apabila ibubapa mereka meninggal dunia untuk urusan jenazah, kenduri dan sebagainya.
“Bantuan Pendidikan sebanyak RM1,000 bagi pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke IPT dan pelbagai lagi inisiatif yang diberikan untuk kesenangan semua rakyat Selangor,” jelas Izzah.
Beliau berkata, Pembangkang akan menunaikan segala janji apabila berjaya memenangi pilihan raya nanti.
“Sekiranya kita berjaya tawan Putrajaya PRU13 nanti, pendidikan percuma akan diberikan kepada semua mahasiswa, tol akan dihapuskan, gaji minima RM1,100 dan harga petrol diturunkan.
“Kita harap rakyat Johor buat perubahan besar dengan menolak kezaliman Umno yang memerintah lebih dari 50 tahun, amalan rasuah dengan pemberian pelbagai kemewahan kepada kroni dan rakyat yang terus tertindas harus dihentikan,” kata beliau.
Sebelum ini, ceramah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pekah Kuah, Langkawi turut diganggu samseng upahan Umno dan berjaya ditangkap oleh Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kedah, Angah Habib.

manipulasi program merdeka untuk survival politik,Najib tonjol kebaculan..!!

 Pertemuan Perdana Menteri dan beberapa pimpinan Umno BN bersama rakyat pada majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang hanya taktik bagi meneruskan survival politik mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, S Manikavasagam.
Beliau mengulas kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Little India; Timbalannnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kampung Baru dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ke Jalan Petaling serentak bermula 8.00 malam ini bertemakan ’55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’.
“Merdeka apa kalau kaum India kekal dinafi kad pengenalan sejak puluhan tahun. Janji ditepati konon, tapi Kampung Baru dinodai pimpinan Umno begitu juga kaum Cina apabila SRJKC (Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina) dipermainkan oleh pentadbiran Najib.
“Semua tahu tiga kawasan itu antara tumpuan utama tiga kaum terbesar iaitu India, Melayu dan Cina, namun kita yakin taktik mereka ini bersifat serampang dua mata untuk merayu pengundi bandar agar tidak menolak Umno BN,” katanya dihubungi.
Beliau yakin usaha itu hanya sia-sia kerana pengundi bandar adalah golongan celik kerana diberi apapun dari kerajaan sama ada wang atau hadiah akan diambil, namun undi mereka konsisten untuk Pakatan Rakyat.
“Tindakan mereka memilih tiga lokasi itu juga membuktikan Umno BN kini sangat-sangat kritikal dengan sokongan pengundi bandar dan sebab itu, saya tegaskan ini taktik terdesak mereka.
“Buktinya, sehingga kini Najib enggan adakan PRU walaupun desas-desus pembubaran Parlimen bertiup kencang sejak tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Kapar itu lagi.
Sebelum ini, Parlimen dijangka bubar pada 11 November 2011 kerana angka 11 sangat diminati Najib. Selepas itu ia ditunda Mac, Jun dan awal Julai tahun ini, namun semua meleset dan kini mungkin dianjak Oktober depan pula selepas pembentangan belanjawan.

Sunday 15 July 2012

Makcik 61 tahun dari LARUT ke Himpunan OREN demi perubahan untuk FELDA.

15 JULAI : Kerana tidak sanggup lagi melihat penipuan dan kepapaan yang berlaku di dalam Felda, seorang makcik 61 tahun sanggup menunggang motorsikal sejauh 260 km untuk hadir ke Himpunan Oren Selamatkan Felda di sini semalam.
Kesungguhan dan kecekalan Salmiah Mat Jali dari Felda Ijok, di Larut, Perak itu mendapat perhatian peserta di himpunan depan Istana Negara. Lebih lagi apabila Salmiah memberitahu dia melakukan perjalanan itu seorang diri.
“Dari Larut sehingga ke sini adalah dalam 260 kilometer. Makcik bertolak sejak awal pagi-pagi lagi,” ujar Salmiah yang hadir pada himpunan yang bermula sekitar jam 1 tengahari semalam.
Ketika ditanya adakah beliau risau untuk merempuhi perjalanan yang agak jauh seorang diri, Salmiah berkata:
“Makcik dah biasa dah.”
Beliau berhenti di dua kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Lebuhraya Utara-Selatan untuk berehat semasa perjalanannya.
Ketika diwawancara, Salmiah masih lagi memakai topi keledarnya dengan bertudung warna oren.
Menurut Salmiah, beliau sanggup turun ke perhimpunan itu semata-mata menyatakan sokongan padunya kepada himpunan yang mahu campurtangan Yang Dipertuan Agong bagi membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).
Kemuncak perhimpunan itu adalah serahan memorandum yang digubal Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) kepada pegawai Yang Di-Pertuan Agong.
Salmiah berkata, ketidakadilan agihan saham FGVH kepada peneroka berbanding pelabur adalah antara sebab yang mencetuskan kemarahannya sehingga sanggup datang daripada jauh untuk himpunan tersebut.
“Saham yang mereka beri kepada warga Felda terlalu kecil, jumlahnya 800 unit. Sedangkan ada pimpinan Umno yang memperolehi saham yang besar.”

Saturday 14 July 2012

Himpunan OREN,suara jelas peneroka kpd AGONG..

14 JULAI : Sekurang-kurangnya 5,000 warga Felda dan orang ramai berkumpul di hadapan Istana Negara bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham.
Demonstrasi tersebut yang juga disertai pemipim politik Pakatan Rakyat, mendesak agar Yang Di-Pertuan Agong campurtangan dan mendesak kerajaan pusat agar menarik-balik penyeraian FGVH.
Perhimpunan yang dinamakan Himpunan Oren itu, juga mendesak agar Tan Sri Isa Samad meletak jawatan sebagai pengerusi Felda.
Ruang didepan pintu pagar Istana Negara di Jalan Duta digegarkan dengan laungan oleh peserta-peserta berbaju oren “Undur Najib” dan “Undur Isa Samad”, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Antara pemimpin Pakatan yang kelihatan adalah pemimpin Pas termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahuddin Ayob, Ketua Penerangan Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa pusat Mazlan Aliman.
Juga kelihatan memberi ucapan di atas pentas yang didirikan di atas lori, pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrol Hisham Shaharin.
Lapan daripadan pemimpin himpunan tersebut dibenarkan untuk memasuki ruang Istana bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada wakil Yang Di-Pertuan Agong.
Di dalam ucapannya, Mazlan berkata Persatuan Anak Peneroka Felda  (Anak), berada di dalam proses terakhir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Sekuriti kerana membenarkan penyenaraian FGVH.

Friday 13 July 2012

Rakyat SELANGOR wajib tahu:UMNO/MCA gadai tanah 4ribu ekar

13 Julai: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa MCA memohon maaf kepada seluruh rakyat Selangor atas penyelewengan yang dilakukan bersama Umno hingga menyebabkan 4,259 ekar tanah di negeri itu tergadai.
Kata Rafizi, Umno dan MCA memindahkan tanah tersebut kepada Talam Corporation (Talam) dan kemudian mencagarnya ke bank.
“Hutang tertunggak Talam kepada bank mencecah RM286 juta. Penyelewengan yang ditinggalkan oleh MCA ini terpaksa diselesaikan oleh Pakatan Rakyat. Ini bermula dengan merampas tanah-tanah dan harta milik Talam termasuklah tanah yang digadai kepada bank.
“Jumlah aset yang dirampas dari Talam mencecah RM684 juta. Daripada jumlah ini, RM292 juta digunakan untuk melangsaikan hutang bank dan pemiutang lain bagi membebaskan tanah tersebut dari gadaian.
“Hasil bersih RM392 juta bersamaan dengan hutang-hutang Talam Corporation, yang akhirnya berjaya dikutip oleh Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
Minggu lalu, Ketua Biro Profesional Muda MCA Pusat, Datuk Chua Tee Yong menuduh Talam yang berhutang sebanyak RM392 juta dengan syarikat berkaitan kerajaan melupuskan asetnya kepada kerajaan negeri berjumlah RM1 bilion.
Beliau juga menuduh Talam menjual tanah pegangan pajak seluas 2,263 ekar yang terletak di Bestari Jaya kepada Kerajaan Selangor pada harga RM181 juta.
Tee Yong mempertikaikan tindakan Talam itu kerana mereka berjaya menjual tanah tersebut dengan harga RM42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.
Dalam pada itu, Rafizi mengecam tindakan Tee Yong yang memutar belit fakta untuk memfitnah Kerajaan Selangor.
Rafizi berkata, Tee Yong dan pemimpin MCA sepatutnya memohon maaf kepada rakyat Selangor bukan memutarbelitkan fakta.
“Saya memberi amaran supaya beliau cepat-cepat menghentikan fitnah sebelum lebih banyak fail-fail penglibatan pemimpin MCA dalam kesemua usahasama dan projek yang gagal ini didedahkan kepada rakyat,” katanya.

TUN MAHATHIR akan diheret sama..?!..kes SCORPENE

13 Julai: Bapa Altantuya, Setev Shaaribuu mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diheret sama dalam skandal kapal selam Scorpene sehingga menyebabkan kematian anaknya.
Setev Shaaribuu (bertali leher)
“Walaupun Najib Razak yang bertanggungjawab dalam sub marin selaku Menteri Pertahanan masih membisu mengenai perkara ini, namun, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri pada masa itu mesti tampil berhubung perkara ini,” kata Setev dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibacakan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, semalam.
Ia merupakan keterangan Setev di Mahkamah Perancis pada Jun lalu.
Setev berkata, beliau sanggup menunjukkan bukti bahawa anaknya, Altantuya ke Perancis menggunakan pasport dengan nama Aminah Abdullah.
“Ingin sekali saya ulangi bahawa anak perempuan saya, pergi ke Perancis dan beberapa negara menggunakan pasport Aminah Abdullah.
“Kami ada bukti bahawa dia (Altantuya) ke Perancis dan akan tunjukkan bukti itu jika perlu. Walaupun laporan Imigresen Perancis melaporkan tiada rekod Altantuya ke Perancis antara 1999 hingga 2007,” jelas Setev.
Kata Setev, bagi meneruskan pembongkaran misteri kematian anaknya itu, sekumpulan penyiasat daripada Mongolia akan datang ke Malaysia pada Ogos ini.
“Saya harap dapat pengadilan dan atas dasar hubungan dua negara, harap kerajaan Malaysia boleh memberikan bantuan secara ikhlas kepada kumpulan dari Mongolia itu,” katanya.

Thursday 12 July 2012

Anak MUDA:politik berteraskan fakta dan hujah,bukan mainan politik sempit

Pengundi muda di negara ini kini lebih mengutamakan politik yang berasaskan fakta dan hujah berbanding dengan corak politik lama yang memainkan sentimen perkauman.
ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pertambahan bilangan pengundi muda dalam daftar pengundi akan memberikan kesan yang besar kepada corak keputusan Pilihanraya Umum ke-13 nanti seraya menekankan golongan muda perlu diberi perhatian khusus.
“Mereka melihat isu kos sara hidup sebagai isu yang besar, sebab generasi muda adalah golongan yang terhimpit dengan hutang yang banyak samada menerusi pinjaman PTPTN,kenaikan harga barang,kos bahan bakar dan sebagainya,” kata Nik Nazmi dalam program Terus Terang kelolaan TVSelangor.
Tambah Nik Nazmi, menurut kajian yang dijalankan oleh Merdeka Center, majoriti pengundi muda mahukan debat antara Ketua Pembangkang,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd Najib Razak diadakan.
“Saya fikir mereka mahukan dan melihat pemimpin kita membentangkan hujah dan ini bukan budaya baru.
“Orang muda memang mahukan debat ini untuk mereka dapat menilai dan membuat keputusan yang tepat,dan mereka mahu tahu apa dasar yang dikemukakan oleh pembangkang , ” katanya.
Jelas beliau,di DUN Seri Setia terdapat pertambahan pengundi yang kini mencecah sekitar 40,000 peningkatan sebanyak 5,000 berbanding 2008.
“Kini pihak DUN menggerakkan usaha pembersihan daftar pengundi dengan melaksanakan pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam program pendemokrasian pilihanraya,” katanya.

BERSIH:polis maki hamun,pijak peserta

Seorang lagi peserta Bersih, Kumar Suppiah memaklumkan, beliau dipijak beberapa kali oleh polis dan penguasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau turut menunjukkan bukti baju tersebut yang dipakainya pada 28 April, di mana banyak kesan tapak kasut sehingga mengejutkan semua yang hadir dalam sidang kedua pendengaran awam oleh Suruhan Jaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) semalam.
“Mereka pijak saya kerana pakai baju kuning Bersih, seolah-olah ia adalah satu kesalahan besar,” kata Kumar.
Katanya, polis turut mengeluarkan kata-kata kesat seperti, “keling,” dan “aku akan hapuskan kau bila sampai balai nanti”.
“Polis pegang kolar saya dan heret sampai Dataran Merdeka, sambil itu pelbagai kata-kata kesat telah saya terima,” jelas Kumar depan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Kumar ditahan selama lebih enam jam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebelum dibebaskan pada jam 12.30 malam.

Wednesday 11 July 2012

Keganasan POLIs:ikut arahan namun tetap dipukul..!!

 Seorang lagi saksi memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa beliau dipukul lapan hingga sepuluh orang polis dalam perjalanan pulang selepas menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Arsyad Abas, 32 berkata, walaupun beliau menurut arahan polis supaya menukar baju T Bersih kepada baju T biasa, beliau tetap dipukul di kawasan Masjid India sebelum diheret ke Kelab Diraja Selangor, Dataran Merdeka.

"Saya sudah bagitahu saya dalam perjalanan pulang, tapi mereka terus memukul saya. Saya dalam keadaan duduk dan nak tukar t-shirt kuning saya kepada t-shirt biasa, jadi saya tak nampak muka polis yang memukul tapi saya tahu minimum lapan orang polis," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini.

Menurut Arsyad lagi, polis turut menyelongkar begnya dan mengambil barang-barang peribadinya berupa Samsung Tab 7.0, jam tangan, pemacu kilat USB (pendrive),  dan baju T yang belum sempat ditukar.

"Barang-barang saya pun turut dikebas polis tapi beg masih ada dengan saya," katanya sambil menambah beliau tidak mendapat kembali barang-barangnya itu sehingga hari ini.

Sewaktu diheret ke Dataran Merdeka, polis katanya turut menggelarkan beliau dan yang lain sebagai 'barua Anwar'.

Terima lima jahitan

Sebelum dimasukkan ke dalam lori polis, Arsyad memberitahu, beliau ditumbuk di muka menyebabkan kening kanannya pecah dan terpaksa menerima lima jahitan.

Gambar mukanya yang berlumuran darah dan  baju T yang bertompok darah juga ditunjukkan sewaktu pendengaran.

Dakwa Arsyad, polis seperti melepaskan geram kepadanya selepas mendengar khabar angin kononnya salah seorang daripada anggotanya meninggal dunia ketika bertugas di perhimpunan Bersih.

"Saya pun terkejut bila polis beritahu saya, mereka bertindak demikian sebab salah seorang anggotanya meninggal dunia," katanya.

Beliau bersama yang lain dibawa ke Pulapol dan pihak sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) membawa semua mangsa yang cedera ke hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hari ini merupakan hari kedua pendengaran awam di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Wakil Mongolia ke Malaysia Ogos:ada yang tak tido lena

Sekumpulan wakil rasmi Mongolia yang ditugas untuk mengendalikan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu dijangka hadir ke Malaysia Ogos ini, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.
“Mereka akan tiba pada bulan Ogos, cuma tarikh yang tepat belum tahu kerana Mongolia baru saja mengadakan pilihan raya dan belum ada kerajaan lagi,” jelasnya.
“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cepat, sudah enam tahun keluarga mangsa (Altantuya) menanti penyelesaian. Saya yakin bukan hanya saya yang berharap begitu, malah seluruh rakyat antarabangsa yang simpati pada nasib mendiang juga,” kata beliau lagi.
Menurut Gwo Burne, bapa Altantuya, Setev Shariibuu beberapa kali meminta kerajaan Malaysia menyelesaikan kes itu secepat mungkin, namun tidak mendapat respon apabila kes rayuan ditangguh ke Oktober.
“Ada baiknya wakil Mongolia datang sendiri ke sini, kalau harapkan kerajaan Malaysia, lima tahun pun belum tentu boleh selesai,” katanya.
“Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita patut tunjukkan simpati dan ambil berat untuk membantu mereka mencari keadilan,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Konsular Kementerian Luar Negara dan Perdagangan Mongolia, G Gankhuyag menyatakan bahawa, kerajaan Malaysia lembap dalam mengendali kes pembunuhan Altantuya. Kenyataan itu dipetik dalam satu wawancara dengan laman web Mongolia dan didedahkan Gwo Burne dalam satu sidang media 28 Jun lalu.

Translate's version