Kartunis politik kontroversi, Zunar melahirkan kebimbangan itu berikutan indeks kebebasan media jatuh ke tangga 146 daripada 196 negara pada 2011, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Justeru, Zunar mengecam sikap Perdana Menteri bercakap tentang transformasi dan liberalisasi, tetapi terus menyekat dan menekan golongan karyawan serta aktivis media dengan undang-undang jenayah.
Zunar menerima Anugerah Hak Asasi Hellman 2011 di Thailand yang disampaikan oleh Phil Robertson dari Human Right Watch
Zunar berkata, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) misalnya mensyaratkan pemilik media memohon lesen pernerbitan setiap tahun, sementara kerajaan pula berhak meluluskan atau menolak permohonan tanpa memberi sebarang alasan.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan berusaha meluaskan skop PPPA untuk turut melibatkan bahan-bahan dalam internet.
“Undang-undang seperti Akta Mesin Cetak & Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat terus dipergunakan untuk menyekat suara alternatif dan mereka yang tidak sealiran dengan selera politik pemerintah,” katanya.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque melahirkan kebimbangan tersebut dalam satu kenyataan media selepas menerima Anugerah Hak Asasi Hellman 2011 di Thailand.
Menurut Zunar, anugerah tersebut merupakan pemangkin untuk beliau terus menentang penapisan dan pelanggaran hak asasi melalui karya-karyanya.
Anugerah yang diurus-tadbir oleh Human Rights Watch itu diberi secara tahunan kepada penulis yang menghadapi ancaman dari kerajaan kerana karya-karya mereka.
Beliau merupakan penerima anugerah pertama dari Malaysia yang memenangi anugerah tersebut di samping 43 penerima lain dari serata dunia.
Sebelum ini, Zunar yang menjadi kartunis editorial sejak 30 tahun lalu berdepan pelbagai tekanan dari kerajaan, termasuk dimasukkan ke lokap di bawah Akta Hasutan atas penerbitan bukunya, “Cartoon-O-Phobia.”.
Karya-karyanya sebelum ini memfokuskan usaha untuk membongkar perlakuan rasuah dan salah laku oleh kerajaan Barisan Nasional.
Antara isu dalam kartun beliau ialah pembunuhan Altantuya, skandal Scorpene, Pembaziran oleh Perdana Menteri dan Isterinya, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, salah guna kuasa dalam kehakiman dan kekejaman polis.

No comments:
Post a Comment