Kerajaan Selangor akan membuat pendekatan proaktif bagi memperluaskan penggunaan ICT terutama dalam usaha menyelesaikan masalah pentadbiran terutama berhubung pengurusan isu keselamatan di negeri ini.
Exco Selangor, Rodziah Ismail, berkata perkara itu antara yang diputuskan kerajaan negeri semasa mengadakan perbicangan dalam Konvensyen Selcare II yang berlangsung di Hotel Holiday Villa Subang baharu-baharu ini.
Ini kerana katanya, Selangor tidak mahu ketinggalan dalam penggunaan ICT memandangkan ia adalah teknologi terkini yang popular di peringkat antarabangsa dan mula digunapakai oleh negara luar.
“Beberapa resolusi diputuskan adalah selangor akan membuat pendekatan yang proaktif di mana kita akan melihat model bisnes ICT menjadi keutamaan, contohnya melihat peluang tentang bagaimana untuk memperbanyakkan kamera litar tertutup (cctv) dalam isu keselamatan,” katanya.
Jelas Rodziah, fungsi cctv itu bukan sahaja memaparkan video tentang keadaan sekeliling, tetapi turut memberi impak empat dalam satu merangkumi saluran wifi, audio, medium untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat selain mewujudkan televisyen menggunakan teknologi baru iaitu IP TV dengan protokol TV yang akan dilaksanakan tahun depan.
“Kalau dulu kita lihat isu sekitar Selangor hanya di internet sahaja, tetapi sekarang kita boleh push atau naikkan rancangan atau perkhabaran tentang Selangor melalui televisyen juga dengan menggunakan teknologi baru yang sekarang hangat diperkatakan serta digunakan di luar negara,” jelasnya.
Tambah beliau, atas nasihat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, kajian yang bakal dilaksanakan ini turut mengambilkira pandangan orang ramai demi kepentingan bersama.


No comments:
Post a Comment