Thursday 13 September 2012

Bersih pertikai polis tanpa uniform kawal himpunan


13 September: Pemerhati Bersih pada pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Ong Keh Keong mempersoal tindakan polis yang tidak memakai uniform lengkap ketika mengendali perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Ketika mengajukan soalan kepada saksi ke-35, Cif Inspekstor Ahmad Izuddin Mohd Juhari, Ong berkata, polis yang memakai baju biasa kelihatan seperti orang awam jika menanggalkan vest yang tertera perkataan ‘polis’.
“Kamu mengatakan kamu bersama tujuh anggota hanya memakai pakaian biasa dan vest. Adakah kamu setuju jika kalau kamu menanggalkan vest, kamu boleh kelihatan seperti orang awam?” soalnya.
Ahmad Izuddin bersetuju dengan pendapat Keh Keong tetapi bertegas semua anggotanya tidak menanggalkan vest ketika bertugas.
Sebelum itu, Ahmad Izuddin memberitahu panel sidang itu yang diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Dr Khaw Lake Thee bahawa beliau bersama tujuh anggotanya ditugaskan sebagai pasukan bantuan bahagian tangkapan pada perhimpunan tersebut.
Katanya, beliau hanya menunggu arahan daripada pihak atasan untuk melakukan tangkapan jika terdapat peserta yang cuba merobohkan penghadang di Dataran Merdeka.
“Tapi saya tidak mendapat arahan untuk membuat tangkapan pada hari itu,” katanya.
Khaw turut mempersoal segelintir anggota polis yang menggunakan tanda pengenalan diri yang mudah dicabut (pin), sedangkan sepatutnya kebanyakan uniform menggunakan pengenalan yang dijahit.
“Adakah ia amalan biasa kepada polis,” soalnya.
Ahmad Izuddibn menjawab beliau tidak pasti, tetapi mengakui ada segelintir menggunakan pin dan ada yang dijahit.
“Ia terpulang kepada keselesaan pemakainya,” katanya.
Pada perhimpunan itu, hampir keseluruhan anggota polis yang bertugas tidak menunjukkan nombor pengenalan pada uniform mereka menjadikan tugas mengesan anggota yang membelasah peserta menjadi sukar.
Panel siasatan hari ini dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

No comments:

Post a Comment

Translate's version