Wednesday 29 August 2012

KHidmat BERSIH 2.0;mahasiswa gesa kaji prk


 29 Ogos: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) diminta menilai tahap pilihan raya kampus (PRK) yang dilihat tidak adil.
Permintaan itu dibuat Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) melalui penyerahan memorandum bertajuk ‘Gesa Bersih Nilai Tahap Pilihan Raya Kampus’ kepada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Datuk S Ambiga.
Pengerusi SMM, Safwan Anang berkata, ia berikutan PRK yang dijalankan selama ini tidak menggambarkan amalan demokrasi di kampus.
Justeru, mahasiswa meminta Bersih 2.0 selaku badan yang sah memberi nasihat dan menilai PRK tersebut.
“Kami dilayan seperti budak sekolah (dengan) undang-undang yang tidak munasabah. Bagaimana kita ingin memupuk kesedaran politik di kalangan mahasiswa?” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor selepas penyerahan memorandum itu.
Hadir sama, Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A Samad Said.
Tuntut lima perkara
Dalam memorandum itu, SMM mengemukakan lima tuntutan berhubung PRK kepada pihak universiti dan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT).
Jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional (PMN), Edikoup Lakip Sediyanto berkata, universiti diminta mengumumkan segera tarikh PRK yang sepatutnya dibuat Mac lalu.
Beliau juga menunjukkan dokumen Ops 2020, yang pernah didedahkan Mei lalu, menunjukkan penglibatan Pejabat Perdana Menteri dalam penangguhan tarikh tersebut.
“Tempoh berkempen juga perlu dilanjutkan (sekurang-kurangnya) lima hari berbanding hanya tiga hari sebelum ini.
“Tempoh kempen PRK di Universiti Malaya sebelum ini hanya tiga hari, iaitu Jumaat hingga Ahad. Ia bertambah sukar kerana ramai mahasiswa tiada di kampus pada hujung minggu,” kata Edikoup.
Antara tuntutan lain adalah peraturan kempen yang lebih bebas, cara pengundian yang telus dan dwi-sistem (atas talian dan manual) dan penyediaan dana dalam bentuk wang atau material kepada calon.
Tuntutan mahasiswa sama dengan Bersih 2.0
Dalam pada itu, Ambiga memaklumkan, Bersih 2.0 akan menilai referendum itu dan menyifatkan isu yang dibawa adalah sama dengan tuntutan Bersih yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.
“Kami ambil berat dengan apa yang berlaku dan akan meneliti prosedur PRK dan bagaimana ia dilaksanakan pada masa ini.
“Selepas itu, kami akan cuba berhubung dengan pihak universiti bagi membincangkan tuntutan ini. Ia adalah sesuatu yang baik apabila mahasiswa berani dan ambil berat akan (prinsip) demokrasi,” kata Ambiga.

No comments:

Post a Comment

Translate's version