Saturday 11 August 2012

BERSIH 3.0 bukan zon perang:SU Agung NUJ

10 Ogos: Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan menyangkal wakil polis, ACP Jamaluddin Abdul Rahman kerana mengatakan perhimpunan Bersih 3.0 seperti zon perang.
Saksi pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan keganasan polis itu berkata, perhimpunan pada 28 April lalu tersebut bermula aman dan bertukar kecoh selepas polis melepaskan gas pemedih mata.
Beliau juga membidas dakwaan Jamaluddin bahawa keselamatan petugas media lebih terjamin jika ditempatkan di kawasan selamat, seperti di dalam bangunan.
“Petugas media, terutamanya jurukamera perlu berada dekat dengan tempat kejadian supaya dapat merakam peristiwa dengan lebih tepat.
“Walaupun keadaan sesak, tidak sukar membezakan antara wartawan dengan peserta himpunan.
“Memang peserta himpunan turut membawa kamera, tetapi ada perbezaan pergerakan dan cara mereka kendalikannya. Tambahan mereka memakai pas media,” katanya.
Anbalagan turut menyangkal dakwaan Jamaluddin bahawa polis mengalami kesukaran membezakan antara peserta himpunan dan wartawan, justeru mereka dibelasah dan ditangkap.
“Jika wartawan lakukan kesalahan sekalipun, polis hanya perlu menangkap tanpa membelasah mereka. Mereka di sana kerana tugas, bukan buat kacau,” tegas beliau.
Selain orang ramai, turut menjadi mangsa keganasan polis adalah di kalangan wartawan.
Polis juga memaksa jurukamera memadam gambar yang dirakam malah ada juga bertindak merampasnya.
NUJ sebelum ini menerima 12 laporan daripada petugas media mengatakan mereka diserang polis semasa perhimpunan Bersih 3.0.
Pendengaran itu diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu Komisioner Professor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.
Selain polis, turut menjadi pemerhati sidang adalah Majlis Peguam.

No comments:

Post a Comment

Translate's version