Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul untuk memotong gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM22,826.65 sebulan.
Keputusan itu bagaimanapun hanya dibuat dengan mendengar suara paling ramai daripada Ahli Parlimen yang menyebut perkataan ‘tidak’
Tiada undi belah bahagian dibuat untuk memutuskan perkara itu kerana tiada permintaan daripada Ahli dewan.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua meminta Dewan membahas usul itu.
“Usul ini bukan dituju pada peribadi Ahli Parlimen Pekan, tetapi ia disasar kepada pemegang jawatan ketua eksekutif tertinggi negara, bahawa jawatan ini sentiasa dipantau, diteliti agar tugasnya harus dijalankan dengan hemat dan berkesan secara konsisten,” kata Tian.
Beliau turut membidas sikap Ahli Parlimen BN dan Bebas yang beremosi semasa beliau mengusulkan isu itu.
“Mari kita ketepikan sikap bahasa emosi dan persaingan kepartian kerana menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010, hutang awam mencatat kadar kenaikan 12.3 peratus iaitu kenaikan sebanyak RM44.72 bilion dan menjadikan hutang berjumlah RM407.11 bilion pada 2010.
“Ini merupakan lonjakan besar jika dibanding dengan jumlah sebanyak RM362.39 bilion berbanding 2009,” katanya.
Dalam usul itu, Tian turut mendesak pentadbiran Najib bersikap telus dan segera menjawab segala persoalan yang dibangkit rakyat sebelum ini.
“Sehingga kini, pentadbiran Datuk Najib gagal mendedahkan elemen perjanjian dengan IPP walaupun beliau tahu TNB sudah mengalami kerugian sebanyak RM453 juta kerana TNB membeli dari IPP pada harga yang jauh lebih mahal,”
“Risiko akhir akan ditanggung rakyat yang berdepan peningkatan harga elektrik mungkin dalam masa terdekat,” tegasnya.


No comments:
Post a Comment