Thursday, 3 November 2011

Ribuan pekerja turun DEMO,tuntut hak!!

Piket besar-besaran anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), berjaya diadakan dengan ribuan pekerja berhimpun di semua 18 lokasi  seluruh negara.
Ia diadakan bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 yang diluluskan parlimen Oktober lalu.
Meskipun tidak mendapat permit polis, Piket berkenaan yang dijadual bermula dari pukul 5 petang hingga 6.30 petang tetap diteruskan dengan pekerja membanjiri lokasi-lokasi yang ditetapkan.
Di Jalan Barat, Petaling Jaya, piket berkenaan dihadiri kira-kira 500 hingga 600 pekerja.
Ia turut dihadiri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) antaranya Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran, Ahli Biro Politik KEADILAN, Syed Husin Ali, Latheefa Koya,  Ahli Parlimen Selayang, Wiliam Leong dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.
Di Shah Alam Selangor pula, ia dihadiri oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Exco Selangor, Xavier Jeyakumar dan bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mahmud.
Di Tasek,Ipoh, Perak kira-kira 500 orang menyertai piket berkenaan.
Turut hadir  ialah Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Adun Teja Chang Lih Kang, Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail dan juga pimpinan Pakatan Rakyat  yang lain.

Sementara di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur pula dilaporkan sekurang-kurangnya 200 hingga 300 pekerja berhimpun sepanjang jalan.
Pekerja-pekerja yang berpiket di seluruh negara hari ini membawa kain rentang dan plakad yang bertulis tuntutan dan bantahan mereka.
Antaranya, ‘Jangan Perkosa Hak Pekerja’, ‘Menteri Tipu Pekerja’ dan ‘Jangan gadai Hak Pekerja’.
Mereka juga dilaporkan turut melaungkan slogan “Tarik balik”  “Henti Pindaan”, “Turun Menteri”,  dan “Hidup MTUC” beberapa kali.
Mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali turut serta dalam piket.
Tindakan itu turut mendapat perhatian kenderaan  lalu-lalang yang membunyikan hon kenderaan mereka sebagai tanda sokongan.
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebelum ini menyokong secara terbuka tuntutan MTUC membantah pindaan undang-undang tersebut yang dianggap menekan dan menindas golongan pekerja.
MTUC mempunyai 800,000 ahli berdaftar dengan 5.7 juta pekerja berdiri teguh di belakangnya.
Pada 6 Oktober lalu, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan Dewan Rakyat selepas dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.
MTUC membantah pindaan akta itu kerana ia mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan oleh penjajah British apabila Akta Kerja digubal pada 1955.
Sistem pekerja kontrak ini wujud sejak 15 tahun lalu, dan berjalan di luar kerangka undang-undang. Disebabkan itu pindaan ini dilakukan kerajaan demi menghalalkan sistem tersebut.
Kontraktor tenaga kerja ini akan menjadi pihak ketiga yang mengambi alih fungsi majikan utama  dan menyebabkan pekerja tidak mempunyai jaminan pekerjaan.
Selain itu, pekerja akan mendapat kadar gaji yang sama sepanjang hayat bekerja tanpa kenaikan gaji dan bonus serta faedah lain.
Sistem itu juga menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus kepada kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

No comments:

Post a Comment

Translate's version