Tuesday 21 February 2012

Qazaf: Anwar fail semakan keputusan mahkamah syariah

 21 Feb: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah yang memutuskan kebenaran tidak diperlukan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bagi mengetepikan rayuan ketua pembangkang dalam kes qazaf.
Anwar, 63, memfailkan permohonan terhadap Jamil Khir dan dua lagi di pejabat pendaftar mahkamah itu pagi ini.
“Saya mengatakan bahawa penghakiman mahkamah rayuan tersebut adalah salah, silap dan bertentangan dengan prosedur dan aturan mahkamah dan adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
“Justeru itu keputusan mahkamah tersebut perlu disemak,” kata Anwar dalam permohonan semakan tersebut.
Selain itu, Anwar turut memohon Ketua Hakim Syarie melantik panel hakim yang baru di bawah seksyen 42 (1) dan seksyen 54 (1) bagi menyemak keputusan itu.
Beliau juga memohon mahkamah menggantung semua prosiding dalam kes itu sementara menunggu perintah selanjutnya dari mahkamah, selain memohon agar segala kos ditanggung Jamil dan dua yang lain.
Sementara itu, peguam beliau, Kamar Ainiah Kamarulzaman berkata, panel hakim yang kini mengadili kes itu telah menyalahgunakan proses mahkamah dan bersikap tidak adil terhadap anak guamnya.
Turut hadir ketika semakan itu difailkan ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, barisan peguam Anwar dan penyokong beliau.
Pada 30 Januari lalu Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dan dua yang lain untuk mendengar permohonan mengetepikan kes qazaf.
Bagaimanapun peguam berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan membuat keputusan sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri bagi mengetepi rayuan tersebut.
Ekoran itu peguam Anwar bertindak keluar mahkamah kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Translate's version