Friday 24 February 2012

Belia disaran rebut peluang Geran Selangorku

 Golongan belia di Selangor disaran merebut peluang yang diperuntukkan kepada golongan itu menerusi Geran Selangorku yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pelbagai program telah dirancang untuk membantu belia berdikari dan berdaya maju.
“Salah satu rancangan kita ialah mengadakan gelanggang pelbagai guna di setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN) untuk tujuan rekreasi dan sukan.
“Bukan sahaja untuk berekreasi malah mereka juga boleh berniaga di gerai yang kita sediakan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.
Beliau berkata demikian mengulas peruntukkan kepada program keusahawanan muda dan pembinaan infrastruktur sukan yang setiap satunya berjumlah RM30 juta dalam Geran Selangorku.
Sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan Geran Selangorku, yang merupakan sebahagian dari Belanjawan Selangor 2012.
Program lain yang akan dilaksanakan melalui Geran itu termasuklah  pengenalan gaji minima, program memperkasakan wanita,  program sokongan pendidikan, program dari kebajikan kepada pekerjaan dan program jangkaan kehidupan bandar.
Menurut Dr Ahmad Yunus kerajaan negeri juga merancang beberapa program keusahawanan untuk membolehkan golongan belia menceburi perniagaan.
“Untuk menggalakkan golongan belia menceburi bidang perniagaan kita juga akan memperbanyakkan kursus keusahawanan dan kemahiran seperti menggunting rambut dan sebagainya.
“Dalam masa yang sama juga kita akan terus membantu usahawan kecil agar mereka dapat mengembangkan perniagaan sedia ada,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang merancang beberapa program lain yang dapat dimanfaatkan oleh golongan belia di Selangor.

No comments:

Post a Comment

Translate's version