Tuesday 21 February 2012

Anwar bertemu Nik Aziz perjelas isu Palestin-Israel

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan tentang Isu Palestin-Israel.
Anwar berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau menjelaskan pandangannya sebelum ini adalah selari dengan pendirian Hamas dan Fatah.
“Saya rasa baik kerana telah beri penjelasan terhadap sedikit sebanyak keraguan dalam hal ini.
“Akhirnya saya bagi tahu (Nik Aziz), saya tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirunding di Doha dua minggu lalu,” katanya selepas pertemuan kira-kira 45 minit itu.
Menurut Anwar, dengan penjelasan itu, beliau menganggap salah faham yang timbul mengenai isu itu sebelum ini selesai.
“Tok Guru Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya, dan saya pun faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dan keras dalam soal Israel.
Bagi saya, kita dah jelaskan dan perkara ini tidak berbangkit dan kita akan terus dengan program bersama seperti biasa,” katanya yang juga ketua pembangkang kepada pemberita selepas pertemuan di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.
Anwar dalam pertemuan itu berkata, beliau  turut menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa salah faham isu itu timbul ekoran media Umno yang hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu.
Ia sekaligus memberi salah tafsiran terhadap pengiktirafan Israel sedangkan beliau tidak bermaksud sedemikian.
“Masalahnya saya sebut, media Umno hanya guna bahagian pertama sahaja, bahawa ada kesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi tidak ditekankan ‘tertakluk kepada syarat-syarat, contingent’,” katanya dipetik harakah daily.
Antara syarat tersebut katanya, termasuk pengunduran tentera Israel dari Palestin dan negara arab lain, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.
Dalam pada itu, Anwar juga mendakwa pendiriannya dengan PAS bukan perbezaan ketara namun yang berbeza sebenarnya adalah dengan Umno.
Menurutnya, Umno bersikap hipokrit apabila mendabik dada kononnya mereka tidak mengiktiraf Israel sedangkan pada masa sama mengadakan hubungan perdagangan dengan negara itu.
Malah perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan sendiri masing masing mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara itu, kata Anwar.

No comments:

Post a Comment

Translate's version