1 MAC: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kerjasama dengan Israel, dalam salah satu surat yang dihantar kepada perdana menterinya, Yitzhak Rabin pada 21 Disember 1993.
Dalam surat berkenaan, Mahathir menyatakan sokongan terhadap perjanjian prinsip dan pengiktirafan bersama antara Israel dan PLO.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan Malaysia, bersedia menjalinkan hubungan dengan Israel ‘pada masa yang sesuai’ di samping melihat kemajuan ketara dalam perjanjian damai.
Bagaimanapun tidak dinyatakan bahawa kesediaan itu tertakluk kepada pelaksanaan sepenuhnya oleh Israel terhadap semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , sepertimana yang dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman baru-baru ini.
“Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai,” surat Mahathir dipetik.
Menurut Mahathir, kerajaan pimpinannya juga menyokong perkembangan positif tersebut dan menganggapnya langkah awal ke arah merealisasikan penyelesaian komprehensif kepada masalah Timur tengah.
Katanya, masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan berharap perjanjian antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.
Berikut kandungan penuh surat berkenaan yang disiarkan oleh Bernama.com
21 Disember 1993
Tuan Yang Terutama
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM
Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.
Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur Tengah.
Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka. Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai.
Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.
Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)
DR. MAHATHIR MOHAMAD


No comments:
Post a Comment