Monday, 5 March 2012

Surat Mahathir bukti kerajaan iktiraf Israel

 5 Mac: Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel adalah bukti pengiktirafan kerajaan BN terhadap negara rejim Yahudi itu, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Jika tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, mengapa perlu menghantar surat rasmi kepada negara Yahudi tersebut?
“Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel merupakan satu pengiktirafan terhadap negara haram Yahudi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau mengulas tindakan kerajaan menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat Dr Mahathir kepada tiga perdana menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin,
Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak.
Justeru, kata Tuan Ibrahim, pendedahan itu melondehkan hipokrasi dan penipuan Umno terhadap rakyat bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel, lapor Malaysiakini.
Katanya, persoalan pengiktirafan terhadap Israel menjadi topik utama apabila beberapa negara Islam membantah perjanjian Kem David kerana perjanjian tersebut merupakan satu pengiktirafan kerajaan Mesir kepada negara Yahudi tersebut.
“Walaupun dunia menyedari bahawa wujudnya kerajaan haram Israel, namun apa yang penting menonjol dalam pendedahan surat-surat tersebut ialah kerajaan Malaysia seolah-olah mengakui negara haram ini yang dirampas oleh pendatang haram Israel, dan memaksa rakyatnya menjadi pelarian ini sebagai satu negara yang sah,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Menurut beliau, melalui surat yang dihantar oleh Dr Mahathir dan urus-dagang antara Malaysia dan Israel yang terus berjalan seperti yang didedahkan, secara langsung menyinsingkan muka kepura-puraan kerajaan dan sikap berbohongnya terhadap rakyat dalam isu hubungan negara dengan Israel selama ini.
“Mana mungkin seseorang Perdana Menteri boleh menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel kalau tidak mengiktiraf negara tersebut.
“Jawatan yang dipegang kerana adanya negara, maka secara simboliknya penghantaran surat tersebut jelas ialah satu pengiktirafan,” katanya
lagi.

No comments:

Post a Comment

Translate's version