Tuesday, 26 June 2012

jangan 'emo' sangat...bekas p'garang NST

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk Kadir Jasin (gambar)berpandangan, rakyat negara ini tidaklah perlu 'emo' sangat dengan kehadiran diplomat Singapura dalam perhimpunan Bersih 3.0.

"SAYA rasa kita tidaklah perlu “emo” sangat mengenai kehadiran diplomat Singapura di tunjuk perasaan Bersih pada 28 April lalu.

"Saya yakin banyak lagi Suruhanjaya dan Kedutaan yang hantar wakil untuk meninjau, memantau dan membuat laporan diplomatik peristiwa itu.

"Apalah yang hendak dihebohkan sangat, bukankah sejak bertahun-tahun mereka menghantar wakil meninjau, memantau dan membuat laporan mengenai mesyuarat agung Umno, PAS, DAP, PKR dan bermacam-macam kegiatan politik lagi?" tulis Kadir dalam blognya.

Bagi beliau, "Itu kerja mereka. Melainkanlah mereka sah pakai kemeja T kuning Bersih, berarak kutuk kerajaan Malaysia dan buat laporan yang memihak kepada Bersih. Yang kita patut risau ialah diplomat kita di luar negara tidak buat macam diplomat Singapura buat di Malaysia."

Kadir mengulas tindakan Menteri Luar memanggil Duta Besar Singapura ke Malaysia bagi membantah kewujudan diplomat dari Singapura dalam perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Selain itu, media Umno turut menyiarkan kenyataan Pengerusi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang membantah kewujudan diplomat Singapura dalam perhimpunan itu.

Sekumpulan penyokong Umno juga berhimpun depan kedutaan Singapura bagi membantah perkara itu. 


Singapura Tahu "Rahsia" Kita



Bagi Kadir, yang perlu difikirkan oleh Malaysia adalah kegiatan perisikan sulit Singapura ke atas Malaysia.

"Maksud saya bukan hadir di tunjuk-tunjuk perasaan atau berjumpa wartawan dan pengarang, tetapi mencari rahsia sebenar," tulisnya.

"Itu pun kita di Malaysia tidak perlu peningkan kepala dan tidak lena tidur kerana memang pun Singapura lebih hebat daripada kita dalam hal ini," tulisnya.

Tentera dan perisik mereka dilatih dan bekerjasama rapat dengan Amerika dan Israel.

Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mempunyai empat buah kapal terbang pengintip dan amaran awal jenis Gulfstream G550-AEW buatan Amerika/Israel yang boleh mengesan, mengenal pasti dan mengekori sasaran udara lebih 200 batu nautika dari Singapura (370.4 kilometer) iaitu melepasi Kuala Lumpur.

Ia juga mempunyai pesawat pengintip kawalan jauh (UAV) jenis Elbit Hermes 450, IAI Heron, Searcher dan Scout yang semuanya buatan Israel. UAV Elbit Hermes 450 boleh dikawal dari bumi sehingga 200 kilometer dan terbang selama 20 jam tanpa henti.

Jadi, memang Singapura tahu pergerakan tentera dan strategik yang berlaku di sebahagian besar Semenanjung Malaysia siang dan malam, sama ada dengan menggunakan kelengkapan pengintipannya sendiri atau dengan bantuan Amerika/Israel. 
Secara kebetulan, tulisnya, kerjasama tentera antara Singapura dan Israel bermula pada 1965 iaitu sebaik saja Singapura disingkir daripada Malaysia.

"Masalahnya ialah ramai orang kita jahil mengenai geopolitik, pertahanan dan perisikan. Yang mereka tahu ialah buat bising mengenai pembelian senjata sehingga satu dunia tahu kekuatan dan kelemahan kita," tulisnya lagi.

Singapura Bimbang Perkembangan di Malaysia

Berbalik kepada kehadiran diplomat Singapura di tunjuk perasaan Bersih, beliau rasa tujuan sebenar mereka adalah membuat laporan mengenai peristiwa itu kerana Singapura sangat bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia.

Semua orang tahu, katanya, yang supremo Singapura, Lee Kuan Yew dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) amat bimbang dengan kemungkinan PAS berkuasa di Malaysia, sama ada dengan sendirinya atau melalui kerjasama dengan parti-parti lain.

Kedua, mereka hendak tahu psikologi penunjuk perasaan dan respons pihak berkuasa kerana mereka bimbang hal yang sama lambat laun akan berlaku di Singapura. Jadi mereka mahu bersiap sedia, tambah Kadir.

Harus diketahui iaitu sebelum merdeka (daripada tahun 1940-an hingga 1960-an), Singapura mengalami banyak tunjuk perasaan ganas oleh barisan bersekutu komunis (Communist United Front).

Dan ketiga, mereka perlu tahu kesan perkembangan politik di Malaysia ke atas keselamatan pelaburan dan rakyat jelata mereka di Malaysia. Apatah lagi sekarang apabila kerajaan Malaysia begitu beria-ia memujuk pelabur dan pelancong Singapura.

Namun begitu, katanya, Malaysia tidak boleh menolak bulat-bulat kemungkinan adanya parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik tertentu di Malaysia yang menggunakan perwakilan asing untuk tujuan politik mereka, termasuk memburuk-burukkan imej Malaysia di mata dunia.

"Bagi saya, mereka inilah yang lebih berbahaya dan perlu diawasi kerana mereka boleh diperalatkan oleh agen-agen perisik luar untuk mendapatkan rahsia negara kita dengan tujuan melemahkan kita dan menjadikan kita boneka mereka," tulisnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Translate's version