Wednesday 14 December 2011

Serangan Umno tiada asas tapi kami perlu hakis ‘rasa takut’ Melayu, kata Pakatan

 Sambil mengakui serangan Umno boleh memberi kesan ke atas pangkalan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) berkata mereka akan memfokus usaha-usaha menghapuskan kebimbangan kononnya hak orang Melayu berhadapan dengan risiko di bawah pemerintahan mereka kelak.
Pemimpin-pemimpin PR yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, mereka perlu mempertingkatkan usaha bagi mewujudkan kesedaran di kalangan orang Melayu sejauh mana negeri-negeri diterajui perikatan itu sejak 2008 telah melaksanakan dasar-dasar yang meningkatkan keupayaan mereka, selain jaminan bahawa kaum Melayu tidak akan dipinggirkan sama sekali.
Umno telah mempertingkatkan serangannya ke atas pembangkang ketika perhimpunan agung tahunan parti itu baru-baru ini.
Perwakilan dan pemimpin-pemimpinnya mendakwa PR sebagai anti-Melayu dan Islam.
“Umno kembali kepada polisi lama agenda Melayu yang membolehkannya mengekalkan pangkalan sokongan tradisional pada masa-masa lalu. Tetapi tindakan Pakatan belum cukup untuk menghapuskan kebimbangan orang Melayu, meskipun dakwaan (Umno) itu tidak benar sama sekali.
“Mesej-mesej kami perlu disampaikan dengan berhati-hati untuk mengatasi kebimbangan di kalangan Melayu, yang berpunca daripada politik menakut-nakutkan dan perkauman yang digunakan oleh Umno-BN sekarang terhadap kami,” kata Nurul Izzah Anwar (gambar) kepadaThe Malaysian Insider.
Naib Presiden PKR ini berkata sokongan orang Melayu mengalami kesan sejak Umno melancarkan kembali serangannya.
“Pakatan ada polisi, sebagai contoh di Pulau Pinang, 70 peratus kontrak pergi kepada Bumiputera yang layak berdasarkan sistem tender terbuka.
“Kami ada polisi-polisi seperti ini tetapi kami perlu menangani perkara ini, mengulangi dan mengingatkan rakyat ketika ceramah, kemungkinan menerusi risalah. Apatah lagi politik adalah persepsi,” kata beliau.
Ahli Parlimen Lembah Pantai ini menambah, salah satu persepsi ialah hak dan keistimewaan orang Melayu akan hilang jika PR mengambil alih pemerintahan pusat.
“Kami mengulangi komitmen kami akan mempertahankan artikel-artikel yang termaktub dalam Perlembagaan termasuk soal melindungi hak dan kedudukan istimewa orang Melayu. Saya percaya perkara ini terkandung dalam Rangka Dasar Bersama Pakatan,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga bersetuju bahawa perikatan itu sudah pun mengambil langkah-langkah ke arah mengetepikan dakwaan Umno selama ini.
“Kami memberitahu penduduk kawasan-kawasan luar bandar, kebanyakannya orang Melayu bahawa Pakatan melaksanakan satu sistem urus tadbir (yang baik), yang akan memastikan keadilan kepada semua masyarakat dan pada masa yang sama meningkatkan pengupayaan orang Melayu.
“Saya mengadakan taklimat khas di kawasan saya. Saya telah menjemput 400 orang... imam, sarjana agama, pemimpin masyarakat dan orang-perseorangan ternama untuk menghadiri sesi pascasesi Parlimen, bagi menerangkan isu-isu yang menjadi perhatian dan melawan pembohongan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.
Ahli Parlimen DAP kerusi Bukit Bendera Liew Chin Tong menekankan bahawa mesej yang PR sampaikan kepada pengundi-pengundi adalah sangat penting dan mereka tidak harus bersaing dengan Umno untuk menjadi “sentrik-perkauman.”
“Kita kena mengiktiraf bahawa persekitaran demografi sudah berubah. Ramai orang Melayu tinggal di kawasan bandar. Jadi, kita kena menjelaskan bagaimana kita boleh memperbaiki kehidupan keseluruhan rakyat Malaysia.
“Kami perlu menjelaskan bagaimana polisi-polisi kami boleh membawa perubahan positif melibatkan setiap orang, dan pada masa yang sama membolehkan komuniti Melayu dipertingkatkan keupayaan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Translate's version